‘Jambatan bengkok’ bukan agenda segera, kata timbalan menteri

‘Jambatan bengkok’ bukan agenda segera, kata timbalan menteri

Ia satu cadangan yang baik, tetapi bukan keutamaan kerajaan.

Idea pembinaan jambatan bengkok tercetus kerana Singapura tidak mahu mengubah Tambak Johor yang menjadi struktur penghubung di sempadan negaranya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong berkata pembinaan “jambatan bengkok” di Johor adalah satu cadangan yang baik, namun bukan agenda segera kerajaan.

“Kita menyokong cadangan pembinaan jambatan ketiga itu disebabkan terdapat keperluan untuk memastikan kelancaran lalu lintas di antara Johor dan Singapura.

“Namun ‘jambatan bengkok’ itu bukan agenda utama, yang penting adalah perjalanan lalu lintas di kedua-dua arah berjalan lancar. Saya kira itu yang perlu kerajaan fokuskan sekarang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, kerajaan Johor dilaporkan bercadang untuk meneruskan semula projek pembinaan “jambatan bengkok”, yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum bersara pada tahun 2003.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, berkata perdana menteri bersetuju dengan cadangan itu jika kerajaan Johor hendak meneruskan projek berkenaan.

“Kami bercadang membina jambatan ketiga dan kerajaan negeri sudah berbincang dengan kerajaan Persekutuan dalam pertemuan dengan perdana menteri bulan lalu,” kataya.

Idea pembinaan jambatan bengkok tercetus kerana Singapura tidak mahu mengubah Tambak Johor yang menjadi struktur penghubung di sempadan negaranya.

Senibina jambatan “bengkok” itu dibuat lebih tinggi bagi membolehkan kapal kecil melepasi Selat Johor, namun Singapura enggan berkompromi dengan konsep itu.

Perbincangan mengenai projek jambatan baru menggantikan Tambak Johor yang digunakan sejak 1923 diadakan sejak 1997, namun menemui jalan buntu sehinggalah ia dibatalkan pada 2006 pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.

Ia digelar jambatan bengkok kerana jambatan itu direka untuk melengkung dalam perairan negara sebelum bertemu dengan bahagian tambak di Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.