
Pekerja kontrak K Ganesh, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.
Lelaki itu bersama-sama seorang lagi yang telah dituduh didakwa dengan kejamnya atau secara tidak munasabah membuat atau meninggalkan untuk melakukan apa-apa perbuatan menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor kucing di premis dobi di Taman Gombak Ria, Batu Caves antara 12.54 tengah malam dan 1.00 pagi pada 11 September lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan yang boleh dihukum bawah Seksyen 29(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie menawarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan turut dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor Roslan Mohd Isa.
Bagaimanapun, Ganesh yang diwakili peguam P Rajsurian memohon jaminan yang rendah dengan alasan dia penanggung tunggal keluarga.
“Anak guam saya menanggung keluarga dan tinggal bersama seorang bapa cacat dan bapanya tidak boleh berjalan. Jadi saya pohon ikat jamin yang rendah,” katanya.
Mahkamah membenarkan Ganesh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran 2 kali sebulan.
Dalam kes sama, mahkamah membenarkan permohonan peguam Rajsurian yang turut mewakili pemandu teksi A Mohanraj, 41, yang didakwa sebelum ini atas pertuduhan sama, untuk mengurangkan jaminan daripada RM18,000 kepada RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan sama seperti tertuduh Ganesh.
Mahkamah menetapkan 16 November untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan kejam 3 individu yang membunuh kucing yang dipercayai bunting dengan cara memasukkannya ke dalam mesin pengering.
Perbuatan tersebut kemudian tersebar di media sosial dan menerima kecaman masyarakat sebelum Persatuan Haiwan Malaysia bertindak membuat laporan polis dan kedua-dua individu itu kemudian ditahan oleh polis.