Boleh buka kedai dobi layan diri, kata Ismail

Boleh buka kedai dobi layan diri, kata Ismail

Waktu operasi dibenarkan bermula 6 pagi hingga 8 malam dan pemilik perlu memastikan SOP dipatuhi.

Pemilik kedai dobi layan diri mesti menyediakan petugas sepanjang masa operasi untuk memantau pematuhan SOP. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan membenarkan kedai dobi layan diri beroperasi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun kebenaran itu bersyarat iaitu pemilik kedai dobi layan diri perlu menyediakan petugas untuk memastikan pelanggan mematuhi SOP bagi mengelak berlaku penularan Covid-19.

“Pemilik mesti menyediakan petugas sepanjang masa operasi bagi memantau pematuhan SOP seperti melakukan saringan suhu badan pelanggan sebelum masuk, mengimbas kod QR MySejahtera, memakai pelitup muka, menyediakan pensanitasi tangan serta memastikan penjarakan fizikal dan tidak bersesak-sesak,” katanya pada sidang media.

Waktu operasi dibenarkan bermula 6 pagi hingga 8 malam.

Sementara itu, Ismail berkata sejak 1 Dis 2020 hingga 12 Jan 2021 seramai 142,009 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 melibatkan 5,164 majikan.

“Daripada jumlah ini sebanyak 2,846 (2.1%) disahkan positif,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, pada hari pertama pelaksanaan PKP semalam polis menahan 389 individu atas kesalahan ingkar SOP.

Dalam pada itu menerusi Operasi Benteng dalam tempoh sama pihak berkuasa menahan 138 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan enam tekong, serta merampas sebuah bot dan 13 kenderaan darat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.