Berkat niat kumpul dana untuk sekolah pondok akhirnya jadi usahawan dobi berjaya

Berkat niat kumpul dana untuk sekolah pondok akhirnya jadi usahawan dobi berjaya

Dia langsung tidak menyangka usaha membuka kedai dobi pada 2014 untuk memastikan sekolah pondok berkenaan tidak terkubur, kini menjana pendapatan lumayan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.

Tengku Aiman Tengku Abd Wasa, (kiri) bersama pekerja memeriksa sebahagian cadar sebelum dicuci. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Siapa sangka, niat murni seorang siswazah universiti yang membuka kedai dobi secara kecil-kecilan kerana ingin mengumpul dana bagi meneruskan operasi pusat pengajian Pondok Pulau Gajah, Sabak yang diasaskan oleh diasaskan arwah bapanya ternyata membuahkan hasil.

Tengku Aiman Tengku Abd Wasa, 29, langsung tidak menyangka usahanya membuka kedai dobi pada 2014 untuk memastikan sekolah pondok berkenaan tidak terkubur, kini menjana pendapatan lumayan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.

Bahkan, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kesihatan Haiwan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu kini boleh berbangga kerana pendapatan daripada perusahaan dobi itu bukan sahaja membolehkan sekolah pondok berkenaan diteruskan, malah berkembang sehingga mempunyai 40 pelajar berusia antara 15 hingga 28 tahun ketika ini.

“Arwah bapa Tengku Abd Wasa Tengku Adnan meninggal dunia disebabkan penyakit jantung, susulan itu saya berfikir untuk mencari dana bagi meneruskan pembiayaan pelajar pondok yang ketika itu hanya seramai lapan orang.

“Jadi saya mengambil keputusan untuk mengusahakan kedai dobi memandangkan perniagaan ini tidak memerlukan modal yang besar iaitu sekitar RM2,000 dengan menggunakan duit simpanan yang ada,” kata Pengarah Niceyear Laundry and Carpet Services Sdn Bhd itu ketika ditemui pemberita di kilang dobinya dekat sini hari ini.

Bercerita lanjut, Tengku Aiman berkata ketika memulakannya perniagaannya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, dia hanya membeli dua buah mesin basuh dan dua mesin pengering terpakai sahaja yang berharga RM400 setiap satu.

“Namun, perniagaan semakin hari semakin berkembang dengan pulangan antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.

“Dalam tempoh sama juga saya turut diberi peluang menjadi vendor membersih cadar dan kelengkapan untuk Hotel Ridel dan Hotel New Pacific dekat sini pada ketika itu,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Selepas hampir dua tahun beroperasi, perniagaannya semakin maju apabila menerima suntikan modal daripada sebuah syarikat minyak dan gas dari Kemaman, Terengganu yang juga merupakan kenalannya untuk membuka kilang dobi.

Saya sangat bersyukur ketika itu saya diberikan kepercayaan oleh seorang kenalan lelaki yang sudi menyuntik modal bagi mengembangkan perusahaan dobi ini.

“Kami turut menjadi rakan kongsi ketika itu, namun setelah beberapa bulan apabila kenalan saya melihat pontensi untuk saya mengusahakan sendiri, jadi dia menyerahkan sepenuhnya pemilikan kilang dobi ini kepada saya sebelum saya membayar balik duit suntikan modal yang diberikannya,” katanya.

Niceyear Laundry and Carpet Services Sdn Bhd kini mempunyai empat mesin basuh 100 kilogram, enam mesin pengering 100 kilogram serta dua mesin gosok dan lipat untuk memenuhi permintaaan pelanggan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.

“Hampir setiap hari kami menerima kira-kira 2.5 tan pakaian pelbagai jenis, cadar dan kelengkapan hotel dengan dibantu seramai 11 pekerja.

“Malah, ketika penularan pandemik COVID-19 ini juga kilang kami turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan kesemua peralatan yang digunakan disanitasi setiap hari,” ujarnya lagi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.