
Insiden itu berlaku Khamis lepas, 45 kilometer di barat laut Denver, apabila Jeffrey Karol Bonczyk tiba-tiba menolak mangsa sehingga jatuh, menendangnya beberapa kali dan berkata, “pergi balik ke China,” lapor agensi berita Xinhua memetik laman sesawang tempatan Boulder Patch, semalam.
Menurut Xinhua, mangsa memberitahu polis Boulder bahawa Bonczyk, 48, menjadi agresif ketika mereka berselisih di jalanan hanya disebabkan keturunannya meskipun dimaklumkan bahawa beliau bukan rakyat China.
Bonczyk ditahan pada hari kejadian kerana disyaki melakukan jenayah bermotifkan pandangan serong sehingga menyebabkan kecederaan, jenayah Kelas 5 dan serangan yang dikategorikan sebagai salah laku Kelas 1.
Bagaimanapun, laporan itu menyebut Bonczyk memberitahu polis bahawa pergaduhan tersebut bermula kerana mangsa “bencikan orang kulit putih”, selain mendakwa wanita terbabit menggunakan sebilah pisau yang menyebabkan luka kecil di dagunya.
Boulder merupakan sebuah bandar di kaki Pergunungan Rocky di utara Colorado.
Ia menduduki tempat teratas sebagai bandar paling bahagia di AS pada 2017, oleh majalah National Geographic.
Menurut bancian pada 2010, terdapat 97,385 penduduk di Boulder, dengan 88% berkulit putih, 8.7% Hispanik atau berbangsa Latin dan 4.7% berketurunan Asia.