Warga China mengaku tak salah rasuah RM50,000 pegawai JAS

Warga China mengaku tak salah rasuah RM50,000 pegawai JAS

Bekas ahli lembaga syarikat e-waste, Jiang Fanjun didakwa melakukan perbuatan itu pada 12 Februari tahun lalu.

Jiang Fanjun
Tertuduh, Jiang Fanjun, 43, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM50,000 kepada pegawai Jabatan Alam Sekitar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang bekas ahli lembaga syarikat pelupusan sisa elektronik(e-waste) warga China dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM50,000 kepada pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Bagaimanapun, tertuduh, Jiang Fanjun, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam, menurut Sinar Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa bersubahat dengan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun dalam melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM)2009, iaitu secara rasuah memberikan suapan wang tunai berjumlah RM50,000 kepada pegawai JAS.

Ia sebagai dorongan kepada pegawai itu untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas lelaki tempatan terbabit yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] iaitu tidak mempunyai lesen premis ditetapkan, tiada kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah, tiada kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan larangan menempatkan buangan terjadual di premis yang tidak ditetapkan.

Perbuatan berkenaan merupakan hasil persubahatan tertuduh yang dilakukan pada 12 Februari 2025, lebih kurang 1 petang, di Jalan Zamrud, Kawasan Perindustrian Nilai.ww

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(C) dibaca bersama Seksyen 17(6) Akta SPRM 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi menawarkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin warga tempatan dengan beberapa syarat tambahan.

Peguam mewakili tertuduh, Muhammad Denial Khairul Hizam bersetuju dengan tawaran tersebut.

Mahkamah membenarkan jaminan seperti dicadangkan pendakwaan dan mengarahkan tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM Negeri Sembilan pada awal minggu pertama setiap bulan, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi sama ada secara sendiri atau melalui pihak ketiga.

Sebutan semula kes ditetapkan 6 Mac depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.