
Tiba-tiba semua orang bercakap mengenai papadam, sejenis kerepek yang diperbuat daripada kacang dal dan hijau dimakan bersama nasi daun pisang.
Ini kerana menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), papadam mengandungi sodium iaitu garam yang tinggi, sekaligus merbahaya untuk kesihatan.
Papadam seberat 13 gram sahaja membekalkan 65% keperluan sodium dalam sehari, maka tak hairanlah CAP tampil dengan pengumuman amaran tersebut.
Ramuan garam tersembunyi yang tinggi dalam papadam menjadi wajib untuk menyedapkan makanan itu, sama seperti bertih jagung (cornflakes) di pasaran yang mengandungi kandungan gula tinggi.
Kandungan garam yang tinggi menyebabkan tekanan darah tinggi, retensi air, kembung perut, peningkatan dahaga, diabetes dan lain-lain.
Tetapi bukan itu sahaja ‘bahaya’ makan papadam secara berlebihan. Jom ikuti perkongisan tambahan laman kesihatan Practo.com, mengenai makanan kegemaran rakyat Malaysia ini.
1. Papadam pedas tidak sihat
Papadam juga tampil dalam pelbagai perasa, salah satu ialah papadam pedas. Papadam berempah pedas secara amnya bukanlah tidak baik untuk kesihatan tetapi boleh memberi kesan buruk jika diambil dalam kuantiti yang banyak kerana keasidannya tinggi boleh membawa kepada masalah penghadaman.
2. Boleh menyebabkan sembelit
Practo.com juga menulis, apabila papadam dimakan secara banyak, ia boleh menyebabkan adunannya melekat pada lapisan usus dan menyebabkan masalah seperti sembelit atau gastrik.
3. Kualiti minyak yang digunakan dalam papadam goreng
Di kedai-kedai, kebarangkalian papadam digoreng menggunakan minyak yang sama secara berulang kali boleh menyebabkan ia meningkatkan kandungan trans lemak. Ataupun, jika kualiti minyak kurang baik, ia akan memberi kesan buruk yang lain kepada kesihatan. Biasanya kebanyakan cara masakan menggoreng papadam menggunakan minyak berkualiti rendah, minyak yang diguna semula beberapa kali dan minyak tanpa kawalan kualiti. Maka, ia boleh meningkatkan kadar kolesterol tidak baik dalam badan yang menyebabkan masalah jantung, diabetes dan lain-lain.
4. Kaedah penyediaan yang tidak bersih
Seperti kata CAP, Practo.com juga memetik isu penyediaan papadan dalam persekitaran tidak bersih. Lazimnya, proses penyediaan papadan memerlukan ia dikeringkan di tempat terbuka dan ia mungkin disimpan di atas permukaan kotor dan tidak bersih yang boleh membawa kepada jangkitan dan sebagainya.
5. Bukan semua papadam yang dipanggang kering sihat
Satu kajian menunjukkan apabila papadam dipanggang kering, goreng atau dibakar menggunakan ketuhar gelombang mikro, membentuk akrilamida. Ia sejenis bahan kimia yang terbentuk kerana kehadiran natrium benzoat. Kajian menunjukkan pembentukan akrilamida lebih tinggi apabila dipanggang di atas dapur dan paling rendah menggunakan ketuhar gelombang mikro. Oleh itu, cuba memasak papadam menggunakan ketuhar gelombang mikro.
Walaupun semua yang dinyatakan di atas berbunyi menakutkan, selagi anda makan secara terkawal, tidak perlu dirisaukan.