
Bagi 2018, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menyederhana dalam tempoh terdekat ini, berkembang 4.9% , disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam penggunaan swasta.
Pada 2017, ekonomi Malaysia berkembang 5.9%.
“Sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, Malaysia akan terus berdepan risiko berikutan ketidakpastian dalam persekitaran luaran,” kata Bank Dunia dalam laporan ekonomi terbarunya bagi rantau ini.
Dalam laporan “Navigating Uncertainty”, East Asia and Pacific Economic Update” edisi Oktober 2018 Bank Dunia berkata, keadaan pasaran kewangan yang tidak menentu, yang berpunca sama ada daripada jangkaan peralihan dasar monetari di ekonomi maju atau krisis di rantau lain, boleh menular ke ekonomi sedang pesat membangun, termasuk Malaysia, menerusi aliran keluar modal dan tekanan terhadap kadar pertukaran.
“Risiko utama lain berkait dengan peningkatan kecenderungan melindungi perdagangan di beberapa ekonomi utama yang boleh membawa kesan negatif ke atas Malaysia, memandangkan tahap integrasi tingginya dengan pasaran global dan kebergantungannya terhadap rantaian nilai global sebagai sumber pertumbuhan,” kata bank itu.