
Memiliki kulit sihat menjadi impian semua orang. Namun, ramai yang tidak memahami erti sebenar di sebalik kulit sihat.
Adakah kulit sihat itu sekadar kulit cerah dan dicuci selalu?
Sebenarnya kesihatan kulit bukan mengenai kulit cerah bersih tetapi lebih dari itu. Secara dasarnya kulit yang sihat bebas dari pelbagai masalah atau tanda-tanda yang tidak normal.
Ini dia 4 komponen penting yang membantu mengukur kesihatan kulit:
1. Warna kulit
Sekejap, kami bukan bercakap mengenai warna kulit putih yang sering dikaitkan dengan berseri, cantik, bersih murni dan sebagainya. Ini kerana setiap orang memiliki warna kulit yang pelbagai dan semua warna kulit sebenarnya cantik dalam budaya dan penerimaan masing-masing. Tiada stereotaip. Apa yang penting ialah warna tersebut haruslah rata tanpa sebarang masalah seperti pigmentasi. Contohnya masalah tompokan gelap akibat sinaran matahari atau jerawat dan jeragat yang tumbuh akibat masalah kulit.
Manakala jika anda sedar ada tanda belang putih dan kegatalan, ia menandakan panau atau masalah kulit yang mungkin lebih serius. Kemerahan pada kulit muka pula tanda kulit mengalami keradangan atau kerosakan.
Rona kulit yang kusam dan lingkaran gelap di sekitar mata turut dikaitkan dengan masalah kulit termasuk masalah dehidrasi.

2. Tekstur kulit
Kulit yang sihat akan bertekstur tegang, lembut dan halus. Jika anda merasakan kulit anda kasar seperti ada benjolan-benjolan kecil, rasa kering dan kerat; atau pun mengendur, ini menandakan kulit anda bermasalah. Biasanya kulit kasar disebabkan oleh jerawat, bekas luka, iritasi dan sebagainya.
3. Kulit lembap
Kulit yang sihat adalah kulit yang lembap kerana ia mengandungi air mencukupi. Air menjaga keseimbangan sebum di permukaan kulit sehingga mencegah munculnya jerawat atau masalah kulit berminyak, selain berperanan penting dalam menghasilkan kolagen.
Kulit yang kekurangan air biasanya kelihatan kering dan dengan mudah munculnya tanda-tanda penuaan. Kulit yang kering juga berasa gatal dan mengelupas.
4. Sensasi pada kulit
Jika kulit anda sihat, maka tiada masalah. Apabila sebaliknya, ia akan menghasilkan pelbagai rasa tidak selesa seperti sensasi pada kulit. Sensasi yang dimaksudkan boleh menjadi masalah seperti rasa gatal, panas terbakar atau terlalu tegang.
Masalah seperti ini berlaku akibat penggunaan produk atau kosmetik kulit yang tidak sesuai dengan keperluan kulit. Mungkin kulit anda kering dan anda pula lebih mengutamakan penggunaan produk pemutih, dalam hal ini ia boleh memudaratkan sel kulit menjadi lebih kering dan radang.