Loke mahu laporan 24 jam susulan KLIA2 ‘bergelap’ 20 minit

Loke mahu laporan 24 jam susulan KLIA2 ‘bergelap’ 20 minit

Menteri pengangkutan berkata pengurusan MAHB dan KLIA2 wajar beri penjelasan apa yang berlaku.

anthony loke siew fook
Loke Siew Fook meluahkan ketidakpuasan hati susulan insiden itu yang disaksikannya sendiri sebelum melancarkan satu majlis di KLIA2. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Menteri pengangkutan mengarahkan pengurusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 menghantar laporan dalam tempoh 24 jam susulan gangguan elektrik selama 20 minit petang tadi.

Loke Siew Fook meluahkan ketidakpuasan hati susulan insiden itu yang disaksikannya sendiri sebelum melancarkan satu majlis di KLIA2.

“Apa yang berlaku hari ini tak boleh diterima. Esok ada mesyuarat Kabinet dan post Kabinet kementerian, dan saya tak nak dengar apa-apa alasan menuding jari antara satu sama lain.

“Dalam tempoh 24 jam, pengurusan MAHB dan gateway (KLIA2) siapkan laporan dan hantar kepada Kementerian Pengangkutan. Saya tak nak perkara seperti ini berulang,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Tap, Travel & Discover di KLIA2.

Beliau turut mempersoalkan gangguan teknikal melebihi 15 minit itu boleh berlaku di KLIA2 tanpa bantuan atau sokongan lain, yang dikhuatiri menjejaskan imej negara.

“Mengapa tiada ‘back up’ sehingga satu terminal gelap. Eskalator pun tak gerak, nasib baik papan paparan masih berfungsi

“Pengurusan terbabit mesti tengok apa punca dan saya nak dengar apa tindakan lanjut,” katanya.

Gangguan elektrik pada 2.15 petang itu menyebabkan kesesakan di eskalator dan transaksi di premis tergendala.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.