Najib selesai bayar wang jaminan RM3.5 juta

Najib selesai bayar wang jaminan RM3.5 juta

Semakan di kaunter jamin di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pagi ini mendapati Najib telah selesai membayar wang jaminan itu.

Pada 21 Sept lepas Ahli Parlimen Pekan itu membayar jaminan RM1 juta iaitu sebahagian daripada jumlah jaminan RM3.5juta berkenaan.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi 25 pertuduhan jenayah selesai membayar wang jaminan berjumlah RM3.5 juta yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Semakan di kaunter jamin di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada jam 9 pagi mendapati Najib, 65, telah selesai membayar wang jaminan itu.

Pada 20 Sept lepas, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 4 pertuduhan rasuah berjumlah RM2.282 bilion melibatkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah wang yang sama.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi membenarkan Najib dibebaskan dengan wang jamin RM3.5 juta dengan dua penjamin sementara kesnya selesai dan menetapkan 16 Nov untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib untuk membayar jaminan itu secara ansuran iaitu RM1 juta dibayar pada 21 Sept (Jumaat) dan RM500,000 setiap hari sebelum atau pada 28 Sept.

Pada 21 Sept lepas Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan telah membayar jaminan RM1 juta iaitu sebahagian daripada jumlah jaminan RM3.5juta itu.

Bayaran jamin itu dibuat anak lelaki Najib, Mohammed Nizar dan seorang individu bernama Mohd Shahrir Arifin selaku penjamin.

Najib pada 4 Julai lepas didakwa atas 3 pertuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 8 Ogos, beliau mengaku tidak bersalah atas 3 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang sama dan dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta dan kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.