
Ketika memberi keterangan dalam saman sivil oleh SRC International dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, Najib berkata, dia sekadar meluluskan pelantikan ahli lembaga yang dikemukakan kepadanya dan tidak terlibat sama sekali mencadangkan atau memilih calon.
SRC International sedang dalam usaha memperoleh semula RM42 juta yang didakwa telah diseleweng, yang mana pihak plaintif mendakwa Najib bertanggungjawab berikutan kuasanya ke atas syarikat tersebut.
Dalam sesi pemeriksaan balas oleh peguam plaintif, Kwan Will Sen, Najib bersetuju dia meluluskan pelantikan kesemua lima pengarah SRC, namun tetap mempertahankan kenyataan bukan dia yang menyediakan senarai calon.
Mahkamah dirujuk kepada sepucuk surat bertarikh 1 Ogos 2011, yang menyatakan Najib meluluskan pelantikan Ismee Ismail, Suboh Yassin, Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Nik Faisal Ariff Kamil sebagai ahli lembaga pengarah.
Kwan: Jadi ini bermakna (kamu)menggunakan kuasa mengikut Artikel 67 memorandum dan artikel-artikel pertubuhan SRC?
Najib: Ya, tetapi saya tidak cetuskan (pelantikan-pelantikan tersebut). Ada individu-individu (dalam surat ini) yang mana saya tidak pernah tahu tentang mereka. Contohnya, Che Abdullah, saya langsung tidak kenal.
Najib menegaskan lagi bahawa dia juga tidak mengenali Nik Faisal, yang disyorkan kepadanya sebagai calon yang layak.
Apabila disoal sama ada dia mempunyai sebarang keterangan berbentuk dokumen yang menunjukkan bagaimana pelantikan-pelantikan itu dimulakan atau siapa di sebaliknya, Najib berkata, dia tidak mempunyai keterangan sedemikian.
“Saya hanya ada kuasa veto. Saya tidak cadangkan mana-mana nama,” tambahnya.
Ketika ditanya sama ada kelulusannya terhadap kelima-lima pengarah itu secara efektifnya bermakna dia mengawal lembaga pengarah tersebut, Najib tidak bersetuju, dengan menyatakan bahawa kuasa untuk menolak sesuatu cadangan tidak sama dengan membuat cadangan tersebut.
Najib turut menolak saranan bahawa kedudukannya membenarkannya mengarah hal ehwal SRC, sambil menegaskan bahawa keputusan-keputusan pengurusan dibuat secara bebas.
Kwan: Apa-apa sahaja nasihat (kamu beri) tidak mengikat?
Najib: Tidak mengikat, melainkan lembaga berpendapat ia demi kebaikan syarikat.
Kwan: Mereka tidak wajib ikut nasihat (kamu)?
Najib: Hanya jika mereka putuskan nasihat itu adalah untuk kepentingan syarikat.
Ada kalanya, Najib bertegas untuk menjelaskan jawapannya dengan lebih lanjut walaupun diberitahu dia telah menyimpang dari soalan. Kwan kemudian memintanya agak tidak bersikap defensif
Najib, yang diwakili peguam Farhan Shafee, menegaskan dia tidak mengarahkan atau mempengaruhi lembaga atau pengurusan SRC untuk menjalankan sebarang transaksi yang menyalahi undang-undang.
Dia dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan didenda RM210 juta selepas didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC, dan telah dipenjarakan sejak 23 Ogos 2022.
Susulan petisyen, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan memendekkan hukuman penjara Najib kepada hanya enam tahun dan mengurangkan denda kepada RM50 juta pada 29 Jan tahun lepas.
Kes akan terus didengar di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan pada 21 Jan.