
Hakim Mohamad Abazafree Mohd Abbas memutuskan permohonan itu tidak berasas dari segi undang-undang dan menolak cabaran terhadap fatwa berkenaan.
Ketika membacakan keputusannya, Abazafree berkata berdasarkan Seksyen 48 Enakmen 4/2006, sesuatu fatwa hanya boleh diwartakan selepas mendapat perkenan Raja Perlis.
“Raja Perlis sebagai ketua agama Islam mempunyai kuasa prerogatif dalam memperkenankan sesuatu fatwa dan ini berbeza dengan fungsi legislatif baginda bagi memperkenankan sesuatu rang undang-undang.
“Memandangkan jelas fatwa tersebut adalah tertakluk kepada prerogatif Raja Perlis, mahkamah berpandangan bahawa ia tidak boleh dibenarkan untuk dipertikaikan oleh mahkamah ini.
“Sehubungan itu, mahkamah ini merumuskan ia menunjukkan bahawa mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengkaji semula fatwa tersebut yang dibuat menurut prerogatif Tuanku Raja Perlis. la menjadikan mahkamah ini tiada bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan cabaran terhadapnya. Atas dasar pertimbangan ini, mahkamah merumuskan bahawa permohonan kebenaran di Kandungan Satu adalah ditolak,” katanya menurut Kosmo.
Beliau berkata, fatwa tersebut juga hanya sekadar menyentuh segala ajaran, aktiviti dan apa sahaja yang boleh membantu GISBH adalah dilarang termasuk mengadakan atau menghadiri ceramah, kelas pendidikan, pembelajaran, menyokong, mengembang serta menyebarkan kepercayaan tersebut.
“Atas dasar ini sahaja, mahkamah ini tidak teragak untuk merumuskan bahawa kedua-dua pemohon tidak sepatutnya dibenarkan untuk mencabar fatwa tersebut melalui permohonan sebegini dan mewajarkan mahkamah ini untuk menolak permohonan kebenaran,” katanya.
Katanya, Mahkamah Tinggi sebagai mahkamah sivil bukanlah forum untuk menentukan perkara itu dan ia berbalik kepada salah satu ‘raison d’etre’ di sebalik Fasal (1A) dalam Perkara 121 Persekutuan Perlembagaan di mana hanya mereka yang benar-benar berilmu dan memiliki tahap kepakaran mencukupi diberikan tanggungjawab untuk memutuskan perkara tersebut.
“Pihak yang diiktiraf secara sah mempunyai kepakaran ini ialah semestinya Mahkamah Syariah,” katanya.
Defenden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambali bersama Peguam Persekutuan Mohammad Solehheen Mohammad Zaki manakala pemohon diwakili peguam Zulfikri Ulul Azmi.
Pada 14 Okt 2024, JFP mengeluarkan fatwa berkaitan pegangan kumpulan GISBH yang difatwakan sebagai fahaman bersifat batiniah, menyeleweng dan sesat.
Ia turut menyimpulkan model ekonomi diamalkan GISBH bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam kerana dikatakan mempunyai unsur penindasan serta perhambaan terhadap mereka yang terlibat serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak, wanita dan keluarga.