SPR: Azhar pertahan lantikan, janji laksana tugas ikut undang-undang

SPR: Azhar pertahan lantikan, janji laksana tugas ikut undang-undang

Azhar berjanji akan bersikap adil tanpa memihak sewaktu menjalankan tugas yang sebelum ini dipegang oleh Mohd Hashim Abdullah.

Azhar berkata beliau tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana parti politik dan tidak dapat menjawab bagi pihak mereka.
PETALING JAYA:
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baru sahaja dilantik, Azhar Harun mempertahankan pelantikannya dan menyifatkan ia dilakukan berlandaskan perlembagaan persekutuan.

Azhar berkata, beliau akan bersikap adil tanpa memihak kepada mana-mana pihak sewaktu menjalankan tugas, yang sebelum ini diketuai Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

“Perkara paling penting bagi saya adalah kesaksamaan dan keadilan. Sudah tentu sebagai pengerusi SPR, setiap yang dilakukan harus mengikut undang-undang.

“Saya bertanggungjawab atas tugas ini dan tidak akan abaikan kepercayaan diberikan. Saya akan melakukan yang terbaik mengikut peruntukan undang-undang,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mempertikaikan cara perlantikan pengerusi SPR baru kerana ia tidak seperti yang dijanjikan Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya umum ke-14.

Khairy berkata manifesto PH menjanjikan pelantikan pegawai SPR perlu diperakukan oleh Parlimen. Beliau bahkan meminta Azhar menolak buat sementara jawatan berkenaan.

Janji ke-16 manifesto PH menyatakan jawatan penting dalam negara seperti pelantikan ke SPR mesti disahkan jawatankuasa bersesuaian di peringkat Parlimen bertujuan mengurangkan kemungkinan perdana menteri campur tangan dalam pelantikan penting.

Mengulas mengenai dakwaan pelantikannya tidak selaras dengan manifesto PH, Azhar berkata beliau tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana parti politik dan tidak dapat menjawab bagi pihak mereka.

“Saya tidak dapat mengulas mengenai manifesto PH yang menjanjikan pelantikan pengerusi SPR harus melalui Parlimen, kerana saya tidak terlibat dalam mana-mana parti politik.

“Bahkan saya sedar bahawa saya memang tidak sepatutnya terlibat. Saya serahkan isu itu kepada pemimpin PH sendiri,” katanya.

Pada masa sama, Azhar mengucapkan terima kasih kepada Khairy atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas tugas berkenaan.

“Saya sudah baca apa yang dikatakan oleh Khairy. Saya bersyukur dan berterima kasih kepadanya kerana mempercayai saya untuk melaksanakan amanah ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.