Najib tiba di mahkamah untuk didakwa kali ketiga

Najib tiba di mahkamah untuk didakwa kali ketiga

Najib tiba jam 1.50 petang menaiki kenderaan SPRM diiringi kenderaan polis selepas selepas diambil keterangan oleh pihak polis Bukit Aman pagi tadi.

Najib tidak disambut laungan ‘hidup Najib’ oleh penyokongnya seperti pada pendakwaan pertama Julai lepas.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak tiba di Mahkamah Jalan Duta buat kali ketiga dalam tempoh 3 bulan atas pendakwaan baru berhubung kes 1MDB.

Najib tiba jam 1.50 petang menaiki kenderaan SPRM diiringi kenderaan polis selepas selepas diambil keterangan oleh pihak polis Bukit Aman pagi tadi.

Beliau berbaju kemeja biru kelihatan tenang ketika hadir untuk pertuduhan baru itu.

Turut hadir ialah anak Najib, Norashman dan Mohd Nizar, Datuk Lokman Noor Adam, selebriti Ellie Suriaty Omar dan pasukan peguam mewakili bekas perdana menteri itu.

Berdasarkan tinjauan FMT, Najib tidak disambut laungan penyokong “hidup Najib” seperti pendakwaan pertama.

Terdahulu lebih 100 agensi media dalam dan luar negara berkumpul di perkarangan bangunan kompleks mahkamah seawal jam 12 tengahari.

Semalam Najib ditangkap selepas 2 jam beliau dipanggil untuk disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai berkaitan sumbangan RM2.6 bilion yang diterimanya pada 2013.

Jurucakap SPRM ketika dihubungi FMT berkata bekas pemimpin itu akan dibawa ke Bukit Aman di mana beliau akan disoal polis dan badan anti-rasuah itu.

Awal pagi tadi, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata sebanyak 21 pertuduhan disediakan ke atas bekas perdana menteri itu melibatkan RM2.6 billion yang dimasukkan ke akaun peribadinya.

Beliau berkata, 9 pertuduhan melibatkan penerimaan wang haram dan 5 pertuduhan melibatkan penggunaan wang haram.

“7 pertuduhan lagi melibatkan pemindahan wang haram ke entiti lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 4 Julai lepas, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap 3 pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 8 Ogos pula, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 3 pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd dalam 2 akaun miliknya, 4 tahun lepas.

Beliau dituduh bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.