Skandal urus niaga saham: SPRM dapati wujud modus operandi salah guna kedudukan

Skandal urus niaga saham: SPRM dapati wujud modus operandi salah guna kedudukan

Siasatan mendapati wujud modus operandi penyalahgunaan kedudukan dalam urusan penjualan saham menggunakan dana awam.

sprm macc
SPRM perluas skop siasatan dan mendapatkan kerjasama pihak berkuasa luar negara, berhubung kes melibatkan bekas CEO badan berkanun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati wujud modus operandi penyalahgunaan kedudukan dalam urusan penjualan saham menggunakan dana awam, berhubung kes melibatkan bekas ketua pegawai eksekutif sebuah badan berkanun kerajaan, menurut sumber.

Katanya, individu berkenaan dipercayai menetapkan terma dan harga pembelian saham serta bertindak sebagai pencadang dan pelulus dalam rundingan tertutup dengan pemegang saham minoriti, sekali gus mempunyai kawalan penuh dalam keseluruhan proses tersebut.

“Siasatan awal turut menunjukkan elemen penerimaan rasuah dan pengubahan wang haram melalui pemindahan hasil transaksi ke entiti luar pesisir bagi menyembunyikan identiti penerima termasuk penggunaan akaun penama dan pemilik benefisial,” katanya.

“Siasatan turut mendapati sebahagian dana dipercayai dilaburkan semula dalam syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia dianggarkan kira-kira RM30 juta bagi menyamarkan aliran kewangan sebagai pelaburan sah.”

Kelmarin, media melaporkan bekas CEO badan berkanun kerajaan dan pengerusi sebuah syarikat direman bagi membantu siasatan skandal urus niaga saham dipercayai menyebabkan kerugian lebih RM300 juta kepada dana awam.

Sementara itu, sumber memaklumkan aliran dana dikesan melibatkan enam akaun bank di Singapura dengan enam transaksi berjumlah lebih USD48 juta, selain satu transaksi sekitar USD3.3 juta di Labuan yang melibatkan dua pemilik benefisial syarikat yang menerima bayaran daripada dana awam.

Dua akaun bank di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dipercayai milik bekas CEO berkenaan, melibatkan kira-kira USD10,000 dan AED37,000 (kira-kira RM80,000), turut disiasat.

Keseluruhan aliran dana luar negara dianggarkan melebihi USD51.3 juta dan dipercayai melibatkan syarikat yang ditubuhkan di British Virgin Islands (BVI), tambahnya.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Mohamad Zamri Zainul Abidin, memaklumkan SPRM sedang memperluas skop siasatan termasuk mendapatkan kerjasama pihak berkuasa luar negara seperti Singapura, BVI, dan UAE bagi meneliti transaksi rentas sempadan dan mengesan aset berkaitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.