
Beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mengeluarkan SOP itu 2 bulan lalu bagi mengetatkan perkahwinan bawah umur 16 tahun.
“Bagi perkahwinan 16 tahun ke bawah masa ini kena dapat izin daripada mahkamah syariah. Dulu agak longgar keizinan dia.
“Bagi para hakim, alasan kemiskinan bukan lagi menjadi alasan untuk membenarkan mereka berkahwin. Ini sebab kita lihat lebih kepada eksploitasi untuk puaskan hawa nafsu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Wilayah Persekutuan di Kompleks Pusat Islam.
Selasa lalu, satu lagi kes perkahwinan melibatkan kanak-kanak bawah umur dilapor berlaku di Tumpat, Kelantan selepas kebenaran Mahkamah Syariah, Julai lalu.
Gadis 15 tahun dilaporkan dinikahi seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berumur 44 tahun, yang juga bapa 2 anak. Dia menjadi isteri ke-2.
Mujahid berkata buat masa ini, hanya Selangor dan Wilayah Persekutuan mengikut SOP yang dikeluarkan JKSM.
Beliau menggesa hakim Mahkamah Syariah setiap negeri mengikut SOP yang dikeluarkan dan mereka ada hak untuk menolak perkahwinan bawah umur 16 tahun.
“Untuk rujukan masa depan kita juga setuju setiap negeri diberi penerangan mengenai SOP dan akan dikanunkan supaya ia tidak hanya menjadi rujukan sahaja.
“Tetapi enakmen perlu diikut. Kita juga mahu tingkatkan umur sama ada lelaki atau perempuan 18 tahun ke atas,” katanya.
Pada 2014, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menasihatkan pihak berkuasa Islam negeri memperketatkan syarat perkahwinan bawah umur kerana ia tidak digalakkan Islam atau memanfaatkan kanak-kanak.
Mengikut undang-undang, usia minimum bagi umat Islam berkahwin ialah 16 tahun, tetapi hakim syarie mempunyai kuasa untuk menurunkan had umur itu berdasarkan kes berasingan.
Isu perkahwinan kanak-kanak mendapat perhatian selepas seorang lelaki berusia 41 tahun mengahwini kanak-kanak berusia 11 tahun di Sungai Golok, Thailand pada 18 Jun lalu, dan pelbagai pihak menggesa larangan ke atas amalan itu.