BN tak bersungguh selaras undang-undang takzir, kata Fuziah

BN tak bersungguh selaras undang-undang takzir, kata Fuziah

Fuziah berkata kerajaan terdahulu sentiasa memberikan alasan bahawa undang-undang takzir di bawah kerajaan negeri.

Fuziah Salleh akan mengemuka cadangan penyelarasan undang-undang takzir di Persidangan Ketua-ketua Jabatan Agama Islam Negeri.
PETALING JAYA:
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata kerajaan terdahulu tidak bersungguh-sungguh untuk menyelaraskan undang-undang takzir antara negeri.

Menurutnya, kerajaan Barisan Nasional juga sentiasa memberikan alasan bahawa undang-undang takzir di bawah kerajaan negeri.

“Bidang kuasa itu bawah kerajaan negeri, jadi oleh kerana bidang kuasa itu di bawah kerajaan negeri saya tak boleh buat (apa-apa).

“(Apa yang boleh saya lakukan adalah) menyarankan supaya dibincangkan dalam Persidangan Ketua-ketua Jabatan Agama Islam Negeri mengenai penyelesaian enakmen-enakmen di bawah kebertanggungjawaban kerajaan negeri masing-masing,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini yang mencadangkan kerajaan Pusat menyelaras undang-undang takzir antara negeri bagi mengelakkan salah faham.

Ahli Parlimen Kuantan itu berkata beberapa mufti mencadangkan penyelarasan itu dan kerajaan perlu memberi perhatian terhadap peraturan sedia ada yang tidak selaras antara negeri.

Katanya, cadangan penyelarasan itu akan dibawakan oleh beliau semasa persidangan tersebut yang akan berlangsung Sabtu ini, di Labuan.

Mengulas mengenai gadis berusia 15 tahun di Kelantan yang dilaporkan berkahwin dengan lelaki 44 tahun, Fuziah berkata beliau akan menyelidik sama ada Mahkamah Syariah Kelantan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) terbaharu.

“Sama ada mereka dah mengguna pakai prosedur yang telah dibentangkan baru-baru ini. Saya belum pasti, saya masih menyelidik.

“Prosedur yang ketat itu kena ada buat ujian kesihatan, reproduktif, psikologi, dan kena melalui proses yang agak ketat. Saya tak pasti sama ada SOP itu digunapakai dalam kes ini,” katanya.

Fuziah turut menyifatkan ibu bapa gadis berkenaan mengahwinkan anaknya atas faktor kemiskinan sebagai bukan satu alasan.

“Pada saya kemiskinan bukan alasan untuk kahwinkan anak cepat. Pada pandangan saya kanak-kanak tersebut berhak untuk belajar, mendapat pendidikan dan kerja yang baik.

“Bahagia atau tidak kanak-kanak tersebut dia mungkin belum mampu menyatakan dia akan bahagia dan dia isteri ke-2,” katanya.

Gadis berusia 15 tahun itu dilaporkan berkahwin dengan lelaki hampir 3 dekad lebih tua daripadanya di mana akad nikah berlaku di Tumpat Julai lalu, selepas Mahkamah Syariah memberi kebenaran.

Ibu bapa gadis itu, yang mempunyai 12 anak lain, berkata mereka merestui perkahwinan anaknya dengan lelaki berusia 44 tahun itu kerana mahu anak mereka memperoleh kehidupan yang lebih baik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.