Bayaran RM45 juta tangguh HSR satu kejayaan, kata penganalisis

Bayaran RM45 juta tangguh HSR satu kejayaan, kata penganalisis

Barjoyai berkata sekiranya pada 2020 kerajaan memutuskan untuk membatalkan projek HSR, Malaysia perlu membayar jumlah lebih besar.

Barjoyai tidak bersetuju projek berkenaan dibatalkan terus kerana negara masih memerlukan perkhidmatan HSR. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penangguhan projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) sehingga 31 Mei 2020 yang melihat Malaysia perlu membayar sebanyak SDG$15 juta (RM45 juta) merupakan satu kejayaan, kata penganalisis ekonomi.
Barjoyai Bardai.

Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak (UTAR) Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, ini kerana jumlah RM45 juta adalah kecil.

“Saya rasa itu satu kejayaan (pembayaran RM45 juta). Kita cuba mengurangkan kesan daripada penangguhan projek ini. Maknanya sekarang ini dapat kurangkan kos itu dan kita hanya perlu bayar RM45 juta.

“Cuma kalau pada 2020 kita membuat keputusan untuk membatalkan, maka pada masa itu kita akan kena bayar jumlah lebih besar…saya rasa boleh memakan ratus juta atau mungkin bilion,” katanya ketika dihubungi FMT.

Rabu lepas, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan Malaysia akan membayar SG$15 juta (RM45 juta) kepada Singapura sebagai kos abortif menangguhkan pelaksanaan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura.

Azmin, yang bertemu Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan 30 Ogos lalu bagi mencapai kata sepakat berhubung HSR berkata, kedua-dua kerajaan bersetuju Malaysia akan menanggung kos itu dan perlu dibayar pada 31 Januari 2019.

Azmin dan Khaw mewakili negara masing-masing menandatangani surat perjanjian sampingan menangguhkan pembinaan HSR sehingga 31 Mei 2020.

Mengulas lanjut, Barjoyai tidak bersetuju sekiranya projek berkenaan dibatalkan terus kerana negara ini masih memerlukan perkhidmatan HSR.

“Tapi mungkin pada masa ini (HSR) tak sesuai dan permintaan terhadapnya belum cukup.

“Kalau kita boleh tangguhkan sehingga 2020 kemungkinan teknologi akan lebih ‘advance’ dan kos pembinaan menjadi lebih murah. Kita mungkin mendapat teknologi lebih baik seperti koc lebih besar, kelajuan lebih cepat pada kos lebih rendah,” katanya.

Menurutnya, pada 2020 keperluan kepada perkhidmatan HSR juga akan lebih tinggi hasil pembangunan pesat di Malaysia dan Singapura seperti pembangunan penempatan baru.

Barjoyai juga berpendapat penangguhan lebih lama projek HSR adalah lebih baik kerana terdapat kemungkinan projek berkenaan menjadi lebih murah berbanding sekarang.

“Kos pembinaan trek misalnya, sepatutnya menjadi lebih rendah,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.