
Beliau berkata, wang itu bukan milik kerajaan dan ia mesti dipulangkan semula kepada yang berhak.
“Saya sudah berbincang dengan perdana menteri dan Kabinet. Jika mengikut perancangannya, kita akan mula bayar semula awal tahun depan,” katanya kepada media pada satu sesi taklimat khas cukai jualan dan perkhidmatan (SST) di sini hari ini.
Mengulas lanjut Lim berkata, pihak kerajaan berhadapan kesukaran untuk berbuat demikian kerana terdapat sejumlah wang yang telah “dilarikan” oleh kerajaan terdahulu.
“Itu duit orang, tapi pemerintah sebelum ini bawa lari, teruk tahu?” katanya.
Terdahulu, kerajaan persekutuan didakwa menghadapi kurangan sebanyak RM19.25 bilion kerana hanya terdapat RM148.6 juta dalam akaun Tabung Bayaran Balik GST yang sepatutnya berbaki sebanyak RM19.4 bilion.
Dalam perkembangan sama, Lim berkata, proses ‘bayar balik’ itu perlahan disebabkan individu tidak jujur pernah diberikan peranan untuk menguruskannya.
Lim bagaimanapun tidak menyebut nama atau pihak yang dikatakan tidak jujur itu.
“Mereka itu tidak jujur dan tidak menepati janji, kononnya akan memberikan bayaran balik GST kepada para peniaga.
“Tetapi selepas 2 tahun masih tiada. Para peniaga pula terpaksa masukkan kos itu ke dalam harga jualan mereka,” katanya.
Selain unsur tidak jujur, Lim berkata sifat GST yang kompleks, susah dan melecehkan serta penglibatan kos pentadbiran menjadi punca proses itu perlahan.
Lim juga berkata kerajaan menjangka kadar inflasi bagi tahun 2018 selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 1 Sept depan susut kepada 1.2% berbanding unjuran awal 1.8%.
“Sama ia tercapai atau tidak bergantung kepada bagai kesan SST diserap oleh ekonomi dan tiadanya kegiatan pencatutan,” katanya.
Berbanding kadar inflasi 3.7% pada 2017, Lim berkata beliau akan berpusa hati jika kadar inflasi tahun ini kekal pada angka 2%.