
Hakim Azwarnida Affendi melepas dan membebaskan Tamrin, 70, selepas Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraf Zubir memaklumkan mahkamah yang pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap anak Tun Ghafar Baba itu semasa sebutan kes berkenaan.
Peguam, Eric Paulsen yang mewakili Tamrin memberitahu mahkamah, anak guamnya wajar dilepaskan kerana pihak pendakwaan tidak berminat lagi meneruskan kes itu.
Bekas pengerusi Mara itu yang berada di dalam kandang tertuduh dilihat tersenyum selepas mendengar keputusan itu.
Mengikut pertuduhan, Tamrin didakwa memberi ucapan dalam ceramah dengan menyebut kata-kata menghasut di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Jalan Maharajalela, Dang Wangi, Kuala Lumpur antara 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei 2013.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya.
Perbicaraan kes itu berlangsung sehingga peringkat pembelaan dan Tamrin sudah memberikan keterangan, bagaimanapun hari ini pihak pendakwaan memutuskan menarik balik pertuduhan ke atasnya.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Tamrin bersyukur dan lega kerana kes hampir 5 tahun itu akhirnya selesai.
“Saya percaya pemerintahan kerajaan baru pada masa kini memberikan peluang kepada semua pihak untuk bebas bersuara.”
Eric berkata, pihaknya sebelum ini menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengkaji semula pertuduhan dihadapi Tamrin ketika akta itu dalam proses pemansuhan di Parlimen.
“Kami menggesa kerajaan menghapuskan kesalahan membabitkan Akta Hasutan secepat mungkin.”