
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata, jawatankuasa yang diluluskan Majlis Raja-Raja pada 10 Julai lalu dan telah memulakan tugasnya bermula bulan ini.
“Jawatankuasa ini akan menilai dari segi peranan, keberkesanan dan segala yang berkaitan pentadbiran hal ehwal Islam.
“Dan mereka akan mempersembahkan dapatan mereka kepada Majlis Raja-Raja dalam masa 4 bulan dari sekarang,” katanya menerusi satu wawancara bersama FMT di Parlimen hari ini.
Fuziah berkata penubuhan jawatankuasa itu juga bagi memastikan agensi di bawah JPM menjadi lebih efektif dan efisyen.
Sebelum ini beberapa pihak menggesa Jakim dibubarkan selepas mendakwa agensi itu mencampuri urusan agama di negeri-negeri.
Julai lalu, Raja-raja Melayu dilaporkan berkenan menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan dalam usaha menambah baik semua institusi Islam peringkat Persekutuan di negara ini.
Jawatankuasa itu dipengerusikan bekas ketua setiausaha negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan timbalannya, Datuk Dr Afifi al-Akiti yang juga felo di Oxford Centre for Islamic Studies.
Fuziah turut ditanya mengenai dakwaan pendakwah kontroversi Zamihan Mat Zin yang dipindahkan semula ke Jakim dalam tempoh 24 jam pada Jun lalu.
Menurut Ahli Parlimen Kuantan itu, JPM tidak mengetahui sebab Zamihan dipindahkan semula ke Jakim sebagai pegawai hal ehwal jabatan itu.
“Kami tak tahu siapa yang arah, kenapa dia diarah… tapi status dia dah pindah. Memang dah disahkan dia balik ke Jakim. Tapi siapa arah, kenapa, kita tak tahu,” katanya.
Sebelum ini, Zamihan mendakwa selepas Datuk Mujahid Yusof Rawa dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri dan mengetuai Jakim, beliau diarahkan pindah dari Kementerian Dalam Negeri ke Jakim dalam masa 24 jam.
Zamihan merupakan antara 46 anggota panel pemulihan suspek bagi kes berkaitan militan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma).