Jakim tak iktiraf tanda halal ‘Muslim Choice’

Jakim tak iktiraf tanda halal ‘Muslim Choice’

Ketua Pengarahnya Sirajuddin Suhaimee mengulas tindakan Pasukan Pemantau Mesra Muslim memperkenalkan istilah itu kepada pengusaha menepati syarat dan piawaian ditetapkannya.

Ketua Pengarah Jakim Sirajuddin Suhaimee berkata perakuan halal selain daripada pihaknya, majlis agama islam negeri atau jabatan agama islam negeri adalah tidak sah serta menyalahi peraturan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penggunaan istilah Muslim Choice atau seumpamanya yang diperkenalkan mana-mana pihak, bukan perakuan atau tanda halal yang diiktiraf pihak berkuasa, tegas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketua Pengarahnya, Sirajuddin Suhaimee, berkata istilah diperkenalkan Pasukan Pemantau Mesra Muslim (MFW) itu boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat mengenai status halal sesuatu produk atau premis.

Katanya, istilah itu didakwa dibuat pihak terbabit untuk memberi keyakinan kepada pengguna Muslim mengenai produk atau premis yang diiktiraf pertubuhan berkenaan sebagai berkualiti, bersih, selamat serta selari prinsip Islam.

“Kita menasihati semua pihak supaya tidak menggunakan atau mempamerkan sebarang bentuk logo, simbol, istilah, kenyataan atau ungkapan yang boleh memberi tanggapan halal tanpa pengesahan daripada Jakim atau majlis agama islam negeri (MAIN), mahupun jabatan agama islam negeri (JAIN).

“Berdasarkan peruntukan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, hanya Jakim dan MAIN atau JAIN diberi kuasa mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta memberi kebenaran penggunaan logo Halal Malaysia kepada pihak diperakukan,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut Harian Metro.

Tambahnya lagi, sebarang penggunaan logo, simbol, istilah, kenyataan, atau ungkapan yang membawa maksud halal dan boleh dimakan umat Islam yang dikeluarkan mana-mana pihak selain Jakim atau MAIN/JAIN, adalah tidak sah serta menyalahi peraturan.

“Ia juga boleh menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara dan mengelirukan pengguna Muslim,” katanya.

Beliau mengulas tindakan MFW memperkenalkan pengiktirafan Muslim Choice kepada pengusaha menepati syarat dan piawaian ditetapkan pertubuhan terbabit.

Selain itu, Sirajuddin berkata, pihaknya juga pernah bertemu MFW pada 23 Ogos tahun lalu dan memaklumkan pengiktirafan digunakan itu boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai.

“Kita turut meminta mereka menghentikan tindakan itu namun berdasarkan aduan daripada pihak berkuasa agama negeri, MFW dikesan masih meneruskannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.