
“Gencatan senjata bersama itu dilihat mempunyai prospek ke arah perbincangan lebih lanjut antara pihak-pihak yang bertelagah,” kata Ketua UNAMA, Tadamichi Yamamoto.
Sekiranya menjadi kenyataan, ia merupakan gencatan senjata ke-2 antara kerajaan dan Taliban sejak konflik bermula di Afghanistan hampir 20 tahun lalu.
“Adalah penting merebut segala peluang yang ada untuk menamatkan konflik untuk memastikan rakyat Afghanistan dapat menikmati kehidupan aman yang amat diharapkan,” kata Yamamoto.
Beliau mengulas saranan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pada Khamis yang melihat perlunya gencatan senjata dan membuka jalan ke arah rundingan damai.
Bulan lalu, laporan UNAMA mendapati 2018 merupakan tahun paling tragis, menyaksikan ramai orang awam terkorban sejak misi itu mula mengumpul data pada 2009.
Minggu lalu sahaja, pertempuran maut berlaku di bandar Ghazni, barat daya Kabul, menyebabkan lebih 150 orang awam maut.
UNAMA, yang diberi mandat untuk menyokong proses perdamaian dan keamanan, menegaskan pihaknya “bersedia memainkan peranan jika diminta oleh pihak yang ingin memastikan rundingan dicapai”.