Tapak Highland Towers akan dijadikan taman, kata Zuraida

Tapak Highland Towers akan dijadikan taman, kata Zuraida

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata tapak itu tidak lagi sesuai untuk rumah dan bangunan lain.

Free Malaysia Today
Menara tinggal menjadi tempat persembunyian penjenayah dan penagih dadah. (Gambar fail)
AMPANG:
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata kerajaan merancang untuk menjadikan tapak tragedi Highland Towers sebuah taman.

Zuraida berkata tapak kawasan itu tidak sesuai untuk pembinaan bangunan atau rumah.

Kementerian sekarang ini sedang menyediakan cadangan untuk tapak itu.

“Saya difahamkan tapak kawasan itu tidak bagus. Kami akan jadikannya taman. Lokasi itu agak strategik terutama bagi penduduk Ampang,” katanya selepas menghadiri satu acara awal hari ini.

Highland Towers terdiri daripada 3 blok 13 tingkat. Pada 11 Disember 1993, Blok 1 runtuh selepas kejadian tanah runtuh.

Seramai 48 orang terbunuh dalam tragedi itu, termasuk anak lelaki dan menantu timbalan perdana menteri ketika itu, Tun Musa Hitam. Penghuni 2 blok lain dipindahkan atas sebab keselamatan.

Dua blok itu terbiar hingga ke hari ini.

Zuraida pada Jun berkata kementerian akan mengkaji kemungkinan merobohkan blok-blok yang tinggal itu supaya tanah itu boleh digunakan semula.

Beliau berkata menara terbiar itu menyakitkan mata dan menjadi tempat persembunyian penjenayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.