Strok haba: Latihan Pulapol patuhi SOP, kata KPN

Strok haba: Latihan Pulapol patuhi SOP, kata KPN

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata latihan yang dijalani anggota terbabit adalah sebahagian simulasi awal sebelum melalui proses seterusnya.

Free Malaysia Today
Fuzi berkata pihaknya akan melihat semula sekiranya terdapat keperluan penambahbaikan dari segi cabaran dan halangan yang harus ditempuhi peserta.
KUALA LUMPUR:
Latihan 60 anggota polis yang diserang strok haba ketika menjalani saringan pemilihan anggota Pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu adalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata latihan yang dijalani anggota terbabit adalah sebahagian simulasi awal sebelum melalui proses seterusnya.

“Apa yang berlaku di Pulapol Bukit Sentosa berkenaan merupakan halangan fasa pertama sebelum pemilihan sebenar bermula. Perkara seperti itu adalah normal dan sering terjadi setiap kali sesi pemilihan.

“Mereka bukanlah pelatih baru seperti yang tular di laman sosial malah ada di antara mereka telah berkhidmat di antara 5 hingga 10 tahun,” katanya selepas melancarkan Operasi Khas Rondaan Cegah Jenayah Pelatih Pulapol di sini, semalam.

Fuzi berkata pihaknya akan melihat semula sekiranya terdapat keperluan penambahbaikan dari segi cabaran dan halangan yang harus ditempuhi peserta.

“Tetapi cabaran yang harus ditempuhi peserta UTK bukan sesuatu yang mudah, kerana integriti Polis Diraja Malaysia harus dipelihara,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, media melaporkan seramai 60 pelatih Pulapol dikejarkan ke hospital selepas diserang strok haba.

Daripada jumlah itu, seramai 16 mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Kesemua mereka segera dihantar dengan ambulans ke beberapa hospital sekitar Selangor, termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan kecemasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.