
Mereka menggesa kerajaan bertindak segera untuk menghentikan amalan tersebut yang berlaku dalam pelbagai kumpulan masyarakat. Merujuk kepada data kerajaan, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menyorot perhatian kepada 968 permohonan untuk perkahwinan bawah umur daripada orang bukan Islam dan 877 permohonan daripada orang Islam tahun lalu.
Naib Pengerusi WAO, Meera Samanther percaya kanak-kanak lelaki juga berisiko dan oleh itu menggesa kerajaan untuk menyediakan paparan data kes perkahwinan kanak-kanak mengikut jantina.
“Dari situ kita boleh mengambil tindakan sebagai masyarakat untuk menangani punca perkahwinan kanak-kanak,” katanya dalam ucapan sempena pelancaran kempen #EndChildMarriage oleh WO, Sisters In Islam, Persatuan Peguam Wanita dan Body Shop di Sunway Pyramid hari ini.
“Kanak-kanak adalah terlalu muda untuk mengetahui semua benda termasuk sexsualiti mereka,” katanya lagi, dan menambah kanak-kanak itu dipaksa berkahwin atas sebab-sebab seperti menjaga maruah keluarga.
Kempen ini akan bergerak untuk mendapatkan tanda tangan rakyat yang tidak menyokong perkahwinan kanak-kanak. Ia menyasarkan 80,000 tandatangan yang akan diserahkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada September ini.
Matlamat kempen ini bagi mendesak kerajaan sama sekali mengharamkan perkahwinan bawah umur dan menaikkan had umur perkahwinan minimum pada 18 tahun. Turut hadir di majlis perasmian hari ini ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto dan aktivis Marina Mahathir.
“Terdapat beberapa undang-undang yang masih bermasalah dan perlu pindaan,” kata Meera.
Sebelum ini, Putrajaya dilaporkan mahu memperkenalkan garis panduan dan tatacara operasi standard lebih ketat yang perlu dipatuhi mahkamah.
Melalui SOP baru itu perkahwinan bawah umur perlu mendapatkan keizinan mahkamah dan menteri besar atau ketua menteri, serta pemohon perlu melalui pemeriksaan kesihatan, pendidikan dan kesejahteraan.
Kelulusan di peringkat jemaah menteri akan diikuti penubuhan pasukan petugas khas bagi memastikan semua negeri mematuhi SOP baru itu.
Meera bagaimanapun berkata undang-undang sahaja tidak cukup. “Kita semua perlu mengubah pemikiran sosial semua orang kerana kanak-kanak perempuan adalah tidak berharga dalam masyarakat sekarang. Perkahwinan bawah umur terjadi kerana ketidakseimbangan gender,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Body Shop Malaysia, Datin Mina Cheah-Foong menyeru orang ramai yang ingin memberi sokongan supaya memberi tandatangan mereka sebelum akhir Sptember ini.
“Jika anda tidak sempat tanda tangan, semua rakyat Malaysia boleh menggunakan #EndChildMarriage di Instagram, Facebook, dan Twitter sebagai tanda sokong,” katanya.
Perbincangan mengenai perkahwinan kanak-kanak kembali hangat selepas media melaporkan tentang kisah perkahwinan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dengan seorang lelaki berusia 41 tahun. Siasatan awal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan mendapati perkahwinan itu dijalankan di Thailand.