Maszlee dipuji bawa masuk penasihat pelbagai latar belakang

Maszlee dipuji bawa masuk penasihat pelbagai latar belakang

Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan menyatukan pendidik, profesional dan ahli perniagaan.

Free Malaysia Today
Maszlee Malik dipuji kerana membawa masuk kepelbagaian dalam MPPK.
PETALING JAYA:
Pemikir dan pendidik terkenal mengalu-alukan pelantikan muka baharu ke Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK), memuji Menteri Pendidikan Maszlee Malik kerana membawa masuk kepelbagaian yang diperlukan untuk reformasi sektor pendidikan.
Free Malaysia Today
Teo berkata penglibatan orang daripada pelbagai latar belakang akan memberikan pelbagai perspektif tentang reformasi pendidikan.

Bekas ahli MPPK, Datuk Teo Kok Seong berkata penglibatan orang daripada pelbagai latar belakang, seperti ahli perniagaan, ahli akademi dan aktivisi masyarakat madani, akan memberikan kerajaan pelbagai perspektif tentang reformasi pendidikan.

“Itu bukanlah perkara yang tidak elok,” katanya. “Penting untuk kita tahu mereka yang dilantik ke MPPK telah mencipta nama dalam bidang masing-masing, jadi kita harus beri mereka masa untuk tunjukkan apa yang boleh mereka lakukan.”

Free Malaysia Today
Ramon percaya anggota baharu itu bukan sahaja berkelayakan dan berpengalaman, tetapi juga profesional.

Bekas penjawat awam kanan, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata anggota baharu itu bukan sahaja berkelayakan dan berpengalaman, tetapi juga ahli profesional yang tidak mempunyai kepentingan politik.

“Sesuatu yang baik apabila majlis itu melibatkan orang seperti bekas ketua pengarah pendidikan Tan Sri Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dan Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim yang pasti akan menggesa pengukuhan Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik,” kata Ramon, yang mengetuai Pusat Pengajian Dasar Awam di Institut Kepimpinan dan Strategi Asia.

Namun begitu majlis itu masih boleh mempertimbangkan penglibatan pendidik dari sekolah Cina dan Tamil, katanya.

Anggota lain dalam majlis itu termasuk Tan Sri Yong Poh Kon, pengerusi di syarikat pengeluar barangan piuter Royal Selangor, pegawai tentera Brig Jen Datuk Yusri Anwar, penasihat pendidikan Khazanah Nasional Datuk Satinah Syed Saleh, serta ahli akademi Datuk Sukiman Sarmani dan Ruzita Mohd Amin.

Aktivis Dzameer Dzulkifli, pengasas bersama Teach for Malaysia, teruja dengan pasukan baru itu, terutama penyertaan Noor Azimah dan Yong.

Beliau berkata Noor Azimah dan Yong telah memberikan kritikan membina mengenai sistem pendidikan negara.

Dzameer berkata cabaran sekarang ialah membayangkan semula sistem pendidikan untuk kanak-kanak secara radikal.

Free Malaysia Today
Arshad berkata sumbangan orang seperti Yusri penting untuk menangani isu buli dan disiplin.

“Saya menggesa pihak majlis supaya betul-betul mendengar dan memahami apa yang para pelajar mahukan dalam pendidikan.”

Pegawai tentera bersara, Datuk Mohamed Arshad Raji mengalu-alukan barisan baharu itu, terutama penyertaan Yusri.

Arshad, yang mengetuai Persatuan Patriot Kebangsaan berkata, sumbangan orang seperti Yusri, daripada latar belakang ketenteraan, penting untuk menangani isu buli dan disiplin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.