Batal 12 penerbangan kerana pesawat tergelincir di lapangan terbang Manila

Batal 12 penerbangan kerana pesawat tergelincir di lapangan terbang Manila

Semua penumpang dan kru selamat selepas pesawat Xiamen Airlines Boeing 737-800 'terkeluar dari landasan' pada malam Khamis ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila.

Free Malaysia Today
Pesawat Xiamen Airlines Boeing 737-800 yang tergelincir dari landasan, akan berada di kawasan berumput Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino sehingga siasatan selesai. (Gambar Reuters)
MANILA:
Pihak berkuasa penerbangan Filipina memutuskan pada Jumaat untuk menutup landasan lapangan terbang Manila di mana sebuah pesawat penumpang Xiamen Airlines terbabas, sebelum terkeluar dari landasan itu pada lewat malam Khamis, menyebabkan penerbangan dibatalkan serta lencongan ke lapangan terbang lain.

Pada awal pagi Jumaat, Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Manila (MIAA) yang mengendalikan Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila, dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP) mengeluarkan kenyataan bersama.

Agensi berita China Xinhua melaporkan kenyataan pihak berkuasa menyebut pesawat jenis Boeing 737-800 itu terlibat dalam insiden “terkeluar dari landasan” pada 11.55 malam waktu tempatan pada Khamis ketika mendarat.

Dalam kes membabitkan penerbangan MF8667 dari syarikat Xiamen Airlines, pihak berkuasa berkata, ia terkeluar dari landasan dan terbabas ke kawasan berumput di lapangan terbang antarabangsa Manila selepas “satu pendekatan yang terlepas” susulan “hujan lebat”.

Pihak berkuasa mengesahkan semua penumpang dan kru pesawat Xiamen Airlines selamat.

Dalam sidang akhbar pada pagi Jumaat, MIAA dan CAAP berkata, semua penumpang dan kru ditempatkan di sebuah hotel.

Pengurus Besar MIAA, Ed Monreal, berkata terdapat keperluan untuk membersihkan landasan itu daripada serpihan enjin dan gear pendaratan pesawat terbabit yang rosak.

Jurucakap CAAP, Eric Apolonio, berkata landasan yang terjejas ditutup buat sementara waktu sehingga 4 petang Jumaat.

Sejumlah 12 penerbangan dibatalkan pada pagi Jumaat susulan insiden itu.

Beliau berkata, pesawat itu masih berada di kawasan berumput berhampiran landasan utama Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino dan akan kekal di situ sehingga siasatan selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.