Siti Aisyah, Doan diarah bela diri tuduhan bunuh Kim Jong Nam

Siti Aisyah, Doan diarah bela diri tuduhan bunuh Kim Jong Nam

Jika sabit kesalahan, mereka berhadapan hukuman mati.

Free Malaysia Today
Oktober lepas Siti Aisyah dan Doan minta dibicarakan atas tuduhan membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.
SHAH ALAM:
Dua wanita warga Indonesia dan Vietnam diarahkan membela diri atas tuduhan membunuh berikutan kematian warga Korea Utara, Kim Jong Nam.

Hakim Datuk Azmi Ariffin memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie kerana membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Kesiksaan terhadap Siti Aisyah dan Doan Thi Huang berhubung perbuatan mereka menyembur agen saraf VX ke muka Kim pada Februari tahun lepas.

Oktober lepas Siti Aisyah dan Doan meminta dibicarakan atas tuduhan membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un itu.

Jong Nam, anak sulung bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il, tiba di Malaysia pada 6 Februari tahun lepas dan berada di klia2 untuk menaiki pesawat ke Macau pada 9 pagi, 13 Februari pada waktu beliau dibunuh.

Kematian beliau dalam perjalanan ke Hospital Putajaya, mencetuskan ketegangan diplomatik antara Putrajaya dengan Pyongyang, dengan Malaysia menarik balik dutanya dan membatalkan kemasukan tanpa visa warga Korea Utara ke negara itu.

Korea Utara bertindak balas dengan mengenakan larangan perjalanan ke atas semua rakyat Malaysia di Pyongyang, sekali gus memerangkap 3 orang diplomat dan 6 anggota keluarga mereka di sana.

Mereka dibenarkan keluar selepas Malaysia bersetuju menyerahkan mayat Jong Nam dan menghantar pulang 3 warga yang dikehendaki untuk disoal siasat ke Korea Utara.

Jun lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia akan membuka semula kedutaannya di Pyongyang.

Ketika membuat kenyataan pembukaan pada hari pertama perbicaraan, pihak pendakwaan berkata ia akan membuktikan bahawa 2 wanita itu menghampiri Jong Nam di dewan pelepasan lapangan terbang dan menyembur agen saraf VX ke mata dan muka beliau.

Pendakwa memberitahu mahkamah perbuatan Siti Aisyah dan Doan menunjukkan mereka berniat menyebabkan kematian Jong Nam.

Kira-kira 30 saksi memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada Oktober 2017 dan berakhir April tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.