
Bung berkata, beliau telah memohon maaf serta menarik semula perkataan mencarut itu selepas diberi amaran oleh speaker, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sehingga memutuskan tiada tindakan yang akan diambil terhadapnya.
“Saya merasakan janggal sekali di Dewan Rakyat hari ini, sebab kerajaan sendiri tidak mengiktiraf keputusan speaker.
“Kerajaan nak “overrule” speaker dalam Dewan Rakyat ketika ini.
“Tidak boleh sewenang-wenangnya sebuah kerajaan, pihak mana-mana pun ‘overruled’ atau ‘bulldozed’ keputusan speaker sehingga tidak menampakkan integriti Dewan Rakyat itu sendiri,” katanya pada sidang medianya di Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan untuk membawa usul Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bagi merujuk Bung ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas perbuatannya yang dianggap menghina majlis.
Usul dibawa Zuraida itu ditempatkan dalam kedudukan ke-5 dalam aturan urusan mesyuarat dan usul-usul pada hari terakhir mesyuarat pertama penggal pertama Parlimen ke-14.
Mengulas lanjut, Bung menyifatkan tindakan itu tidak adil untuk beliau.
“Sebab banyak juga wakil-wakil rakyat daripada kerajaan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak senonoh, yang tidak sopan tetapi tidak pula diambil tindakan,” katanya.
Tegasnya, sekiranya benar kerajaan pimpinan Pakatan Harapan mahu mengambil tindakan, mereka perlu lihat dan mengambil di dalam “hansard” wakil rakyat yang turut mengeluarkan ungkapan tidak baik.
“Dan buat usul sama-sama. Jangan pilih kasih, jangan berat sebelah.
“Mentang-mentang saya ni terlalu lantang bersuara dan bukan di pihak mereka, mereka buat sesuka hati.”