
Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata, keputusan itu ialah sebahagian daripada langkah reformasi secara keseluruhan.
“Tuduhan bahawa Mara akan dipisahkan kepada beberapa kementerian tidak sihat dan menimbulkan keresahan di pihak luar sana.
“Pokoknya, Mara tidak dipecah-pecahkan atau diracik-racikkan, Mara adalah di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.
“Mara yang ditubuhkan pada 1956 akan tetap dipertahankan kerajaan PH,” katanya menjawab pertanyaan dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mara pernah diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, sebelum kementerian itu dibubarkan pada 2009.
Bulan lalu, timbul desas-desus Mara akan dirombak melalui konsep “pengasingan dan penyerapan” kepada beberapa kementerian, seperti Kementerian Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kementerian Pendidikan.
Susulan itu, beberapa pemimpin Umno tampil menyuarakan bantahan.
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, tidak wajar menjadikan Mara mangsa kekejaman politik atau politik balas dendam memandangkan institusi itu terbentuk daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada 1965.
Katanya, matlamat membantu orang Melayu dan Bumiputera akan menjadi sukar jika Mara dipecahkan dan diperkecilkan.
Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak pula berkata, jika fungsi Mara dipecahkan kepada beberapa kementerian, sudah pasti ia sukar memberi tumpuan kepada pelaksanaan program melibatkan agenda Bumiputera.