Kerajaan anjur pertandingan ubah suai logo Visit Malaysia 2020

Kerajaan anjur pertandingan ubah suai logo Visit Malaysia 2020

Menteri pelancongan, seni dan budaya bagaimanapun tidak menyatakan bila pertandingan yang dibuka kepada umum itu, akan diadakan.

Free Malaysia Today
Mohamad Din Ketapi berkata, pihaknya hanya akan melakukan perubahan kecil ke atas logo yang sudah digunakan di seluruh dunia itu.
KUALA LUMPUR:
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamad Din Ketapi berkata, satu pertandingan akan diadakan untuk mengubah suai logo mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 yang dikritik pengguna media sosial sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bila pertandingan yang dibuka kepada umum itu, akan diadakan.

“Kita tak buang semua. Mungkin orang utan itu dihilangkan, kita terangkan Menara Berkembar Petronas.

“Dulu (Datuk Seri) Salleh Said Keruak nak buang itu pasal ia (Menara Berkembar Petronas) hanya bayang-bayang,” katanya selepas Majlis Pra Pelancaran Persekutuan Perpustakaan dan Institusi Antarabangsa (IFLA) di Dewan Banquet Parlimen hari ini.

Logo yang memaparkan tulisan “Visit Malaysia 2020” berlatarkan bayangan Menara Berkembar KLCC, seekor orang utan memeluk monyet belanda dan seekor penyu berkaca mata hitam menjadi sasaran kritikan pengguna media sosial selepas dilancarkan di forum pelancongan Asean di Chiang Mai, pada 26 Januari lalu.

Ada yang mendakwa logo itu direka menggunakan aplikasi seperti Microsoft Paint dan memalukan pereka grafik Malaysia.

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan ketika itu, Datuk Seri Nazri Azizi mempertahankan logo itu dan menyifatkan kritikan adalah perkara biasa.

Mohamad berkata, pihaknya hanya akan melakukan perubahan kecil ke atas logo yang sudah digunakan di seluruh dunia itu.

Mengenai kedatangan pelancong dari China selepas pilihan raya umum ke-14, katanya, ada peningkatan dicatatkan.

“Mereka suka durian Malaysia…sekarang kan musim durian, ramailah yang datang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.