Kementerian: LGBT tiada masalah sakit mental

Kementerian: LGBT tiada masalah sakit mental

Timbalan Menteri Kesihatan Lee Boon Chye berkata golongan itu menghidap 'penyakit organik' dari segi hormon menyebabkan mereka bertindak sedemikian.

Free Malaysia Today
Lee Boon Chye berkata golongan LGBT bukan sakit mental, sebaliknya mengalami ‘aberration’. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak boleh diklasifikasikan sebagai penghidap masalah kecelaruan mental (mental disorder), kata Kementerian Kesihatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, golongan ini menghidap suatu “penyakit organik” dari segi hormon dan penyimpangan otak sehingga menyebabkan mereka bertindak sedemikian.

“Berkaitan LGBT ini, bukannya semua sakit mental, ada sebahagian besar dari LGBT ini menghidap penyakit organik dari segi hormon atau penyakit dalam otak.

“Memang ada dalam kajian melalui MRI dan sebagainya, boleh menunjukkan ada penyakit fizikal dalam otak yang menyebabkan mereka bertindak sedemikian.

“Tetapi ia bukanlah penyakit tetapi satu “aberration” dari yang biasa kita nampak, jangan anggap LGBT ini orang yang sakit atau alami penyakit mental,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Lee berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahmad Amzad Hashim (PAS-Kuala Terengganu) yang meminta penjelasan kementerian adakah LGBT ini boleh dikategorikan sebagai penghidap kecelaruan mental.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa mengadakan pertemuan dengan aktivis hak asasi transgender, Nisha Ayub dan meminta masyarakat tidak mendiskriminasikan golongan berkenaan.

“Golongan transgender ini tidak boleh didiskriminasikan di tempat kerja dan sebagainya. Diskriminasi ini tidak membantu untuk mereka berdikari. Saya gesa masyarakat beri mereka peluang,” katanya.

Mengulas perkembangan lain, Lee berkata kementeriannya sedang mengkaji beberapa cara bagi mengatasi masalah kecelaruan mental kanak-kanak akibat ketagihan bermain video game.

“Memang Kementerian Kesihatan sedang kaji, di mana ada peningkatan penggunaan akses internet video untuk kanak-kanak di bawah 15 tahun selepas jam 12.00 malam hingga 6.00 pagi.

“Kita sedang kaji, sama ada boleh dilakukan atau tidak di Malaysia, kerana ada penyedia game ini akan sekat remaja di bawah 17 tahun selama sejam atau 2 jam, selepas itu terpaksa ‘offline’.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.