Pakar ekonomi: Kerajaan perlu galak rakyat menabung

Pakar ekonomi: Kerajaan perlu galak rakyat menabung

Yeah Kim Leng berkata, kerajaan perlu menggubal jaringan keselamatan sosial khas untuk mereka yang berada di luar sektor formal, sementara Barjoyai Bardai mencadangkan insurans lebih diutamakan berbanding simpanan KWSP.

Free Malaysia Today
Pengerusi KWSP, Samsuddin Osman mendedahkan 62% daripada 22 juta rakyat Malaysia pada umur bekerja tidak dilindungi oleh mana-mana perlindungan sosial formal.
PETALING JAYA:
Seorang pakar ekonomi menggesa kerajaan menggubal dasar menggalakkan rakyat menabung berikutan pendedahan sebahagian besar daripada 22 juta pekerja tidak mempunyai perlindungan sosial formal.

Dr Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata, hakikat ramai rakyat Malaysia berada dalam keadaan itu sangatlah mengejutkan.

“Kita memerlukan dasar untuk melihat bagaimana angka itu dapat dikurangkan,” katanya kepada FMT.

“Saya fikir kerajaan perlu memperuntukkan lebih banyak sumber untuk menggubal jaringan keselamatan sosial khas, terutama untuk mereka yang berada di luar sektor formal.”

Beliau menyuarakan kebimbangan sekiranya kerajaan tidak mengambil apa-apa tindakan, mereka yang bersara tanpa simpanan mencukupi akan berhadapan dengan masalah kewangan.

Beliau juga mencadangkan kursus mengenai celik kewangan diajar di universiti atau dalam kursus latihan yang disediakan oleh jabatan sumber manusia bagi membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih bebas dan terdidik dari segi kewangan.

Awal minggu ini pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tan Sri Samsuddin Osman mendedahkan 62% daripada 22 juta rakyat Malaysia pada umur bekerja bekerja sendiri dan tidak dilindungi oleh mana-mana perlindungan sosial formal.

Beliau juga berkata, statistik semasa menunjukkan lebih 70% rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan untuk perbelanjaan kecemasan.

“Amatlah menyedihkan ramai rakyat tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk persaraan. Sebagai agensi perlindungan sosial, ini membimbangkan kita,” katanya.

Ahli ekonomi, Dr Barjoyai Bardai sebaliknya menawarkan penyelesaian berbeza yang menurutnya hanya memerlukan pelaburan minimum daripada kerajaan.

“Kita memerlukan sebuah program komprehensif sebagai perlindungan daripada kecelakaan,” katanya kepada FMT.

“Saya percaya (pelaburan) dalam insurans lebih baik berbanding KWSP kerana KWSP hanyalah simpanan yang boleh dikeluarkan pada masa-masa sukar.

“Bagi saya, insurans kumpulan atau takaful kumpulan lebih baik kerana ia memerlukan pelaburan minimal.

“Ini sepatutnya menjadi program melibatkan seluruh negara kerana ia akan mengutip pelaburan daripada rakyat, bukan kerajaan, dan menjadikannya lebih murah.

Perlindungan keselamatan sosial di negara ini umumnya disediakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sementara KWSP meliputi pesara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.