
Beliau berkata, dalam keadaan sedemikian, ia sebenarnya bergantung kepada pekerja sendiri sama ada mahu meneruskan kontrak pekerjaan mereka untuk tempoh berikut atau tidak.
“Ia bergantung kepada terma yang dipersetujui dalam kontrak dan merupakan perkara biasa dalam kontrak bertempoh tetap, katanya kepada FMT..
Kontrak bertempoh tetap berlaku apabila majikan menggaji pekerja untuk tempoh masa tertentu, biasanya setahun, tetapi boleh diperbaharui selepas tempoh itu tamat bergantung kepada keperluan.
Shamsuddin berkata, mereka yang bekerja mengikut kontrak jenis ini akan mendapat manfaat sama seperti pekerja biasa seperti ditetapkan di bawah Akta Pekerjaan 1955.
“Ini sebenarnya tidak menjadi masalah, ia bergantung kepada pekerja itu sendiri. Kalau mereka tidak berpuas hati, mereka boleh membuat laporan kepada Jabatan Buruh,” katanya kepada FMT
Semalam Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendakwa lebih 50,000 pekerja pembersihan di hospital dan klinik kerajaan di seluruh Malaysia ditindas dengan sistem kontrak yang diamalkan.
PSM berkata, pekerja pembersihan berkenaan menjadi mangsa akibat pelaksanaan sistem kontrak tempoh tetap yang tidak memberi jaminan kepada pekerja.
Timbalan Pengerusi PSM M Sarasvathy berkata 5 syarikat konsesi perkhidmatan sokongan hospital yang menerima kontrak kerajaan sejak 2015 mengupah syarikat sub-kontraktor persendirian untuk melakukan kerja-kerja untuk tempoh 2 tahun.
“Ini menyebabkan syarikat sub-kontraktor terbabit menawarkan pula kontrak perkhidmatan untuk tempoh 6 bulan, satu atau 2 tahun kepada pekerja pembersihan mereka.”
Sarasvathy berkata, akibat berlakunya pertukaran majikan setiap 2 atau 3 tahun, pekerja terlibat dinafikan hak cuti sakit, cuti tahunan, bonus tahunan, pampasan penamatan kerja dan kemudahan lain seperti mendapatkan pinjaman perumahan.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, pekerja ini umumnya tidak mempunyai pilihan lain dan kurang berkemahiran, menyebabkan mereka terpaksa bekerja dan menerima terma ditetapkan majikan.
“Pekerja ini tidak ada tempat nak pergi dan mungkin tidak ada kemahiran lain. Jadi apa nak buat? Mereka terpaksa bekerja dan terima apa-apa juga terma yang ditawarkan syarikat,” katanya.