
Tawfik Ismail, bekas ahli Umno dan Ahli Parlimen Sungai Benut dari 1986 ke 1990 berkata, kenyataan Presiden IRI, Daniel Twinning, baru-baru ini mengenai hubungan itu merupakan suatu “cerita yang menarik”.
“Berdasarkan pengakuannya sendiri, IRI bekerja bersama-sama dengan pembangkang semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak,” katanya.
Twinning membuat kenyataan itu dalam satu forum diadakan di Washington bulan lepas. Beliau berkata usaha IRI membuahkan hasil dalam pilihan raya umum Mei lepas, dan ia memberi manfaat kepada Amerika Syarikat dari sudut persainganya dengan China sekarang.
Tawfik memberitahu FMT bahawa rujukan kepada China itu menunjukkan Malaysia “membantu dan bersubahat” dengan satu kuasa politik di AS dan “mengesahkan kebimbangan bahawa pihak tertentu di negara itu menggunakan parti politik tempatan”.
Beliau mengingatkan tentang dakwaan PH bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) membenarkan dirinya digunakan oleh China, sekali gus menunjukkan PH kini boleh dituduh bermuka-muka.
“Kumpulan sivil yang mempersoalkan BN berhubung keputusan dasarnya mengenai China, perlu bertanyakan soalan yang sama tentang kerajaan PH dalam konteks hubungannya dengan AS,” kata beliau.
Penganalisis keselamatan, Lam Choong Wah bercakap tentang yayasan asing – bukan sahaja Barat, tetapi juga Timur Tengah – yang beroperasi di Malaysia dan beliau mengesyaki sebilangan daripadanya bekerja ke arah penerimaan ideologi politik mereka.
Beliau berkata, ini merupakan sebab kenapa undang-undang berkaitan pendanaan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kepentingan politik tertentu perlu digubal.
Berikutan laporan media tempatan tentang kenyataan Twinning, IRI berkata ia sentiasa bebas daripada politik partisan dalam kegiatannya di Malaysia dan ia bekerja dengan PH dan juga BN.
Terdahulu, ketua publisiti DAP, Tony Pua berkata semua parti politik di Malaysia pernah terlibat dalam sesi latihan dianjurkan IRI.
Beliau enggan memberi komen berhubung dakwaan bahawa IRI mula bekerja dengan pembangkang pada 2002 bagi melemahkan kerajaan BN.
PAS desak PH buktikan tak terima dana, kerjasama dengan badan pemikir AS
Tony Pua: Semua parti politik pernah sertai latihan badan pemikir AS
Badan pemikir pro-Republikan AS dedah hubungan dengan pembangkang jatuhkan BN