Najib gesa siasat hubungan PH dan badan pemikir AS

Najib gesa siasat hubungan PH dan badan pemikir AS

Bekas perdana menteri berkata, jika benar PH bekerjasama dengan IRI, ia lebih teruk daripada dakwaan khianat ke atas seorang bekas pegawai tinggi perisikan negara.

KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Najib Razak menggesa siasatan dijalankan ke atas hubungan Pakatan Harapan (PH) dengan sebuah badan pemikir berpangkalan di Washington, Institut Republikan Antarabangsa (IRI) yang didakwa bekerjasama untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Bekas perdana menteri berkata, jika benar PH bekerjasama dengan IRI, ia lebih teruk daripada dakwaan khianat ke atas bekas pegawai tinggi perisikan negara, Datuk Hasanah Abdul Hamid.

“Ini adalah campur tangan secara terus dalam proses pemilihan kita.

“Seperti yang anda ketahui, di Amerika Syarikat (AS) mereka juga melantik pendakwa raya khas untuk menyiasat sama ada berlakunya campur tangan Rusia dalam pilihan raya Amerika,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kerajaan tidak harus membenarkan campur tangan asing dalam hal ehwal negara.

Presiden IRI, Daniel Twinning mendakwa IRI bekerjasama dengan parti pembangkang di Malaysia sejak 2002 dan menggulingkan kerajaan BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

Beliau dalam sebuah forum anjuran Center for Strategic & International Studies bulan lepas berkata, Washington mendapat manfaat daripada kerajaan baru di Putrajaya sejak mula lagi.

Beliau mendakwa usaha IRI di Malaysia akhirnya membuahkan hasil pada PRU14 lalu dan menguntungkan AS dari segi saingannya dengan China ketika ini.

Pada 31 Julai lalu, Hasanah mempertahankan diri daripada tuduhan khianat selepas pendedahan surat kepada Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Gina Haspel yang menggesa AS menyokong BN jika gabungan itu menang tipis pada PRU14.

“Tak ada unsur derhaka dalam surat tersebut. Itu semua bohong, mereka menipu dan tak masuk akal,” katanya yang turut membuat laporan polis berhubung dakwaan itu.

Hasanah mengesahkan beliau menulis 3 halaman surat itu yang bertarikh 4 Mei lalu kepada Haspel.

Surat itu antara lain menggambarkan Najib sebagai sekutu penting AS berbanding Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad yang “anti-Barat” dan “anti-Yahudi”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.