
Mereka berkata Thomas mesti menunjukkan ketelusan dalam menegakkan integriti dan wibawa jabatan.
Oleh itu Thomas tidak boleh membisu kerana dia memegang jawatan yang diperhatikan orang ramai, persatuan masyarakat madani dan parti-parti politik.
Zainur Zakaria berkata Thomas mesti dipertanggungjawabkan walaupun peguam negara mempunyai prerogatif dan budi bicara mutlak untuk menarik balik pertuduhan selaku pendakwaraya awam.
Beliau berkata pegawai-pegawai peguam negara mungkin sudah memaklumkan asas-asas menarik balik pertuduhan-pertuduhan itu kepada mahkamah tetapi Thomas perlu menjelaskan keputusannya kepada orang ramai.
“Jika tidak, ia memberi tanggapan jabatan itu bawah kerajaan Barisan Nasional dulu merangka pendakwaan tanpa bukti yang kuat,” kata Zainur, bekas presiden Badan Peguam.
Zainur berkata hakikatnya Thomas bersepakat dengan kerajaan PH dan dia juga mewakili Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kes menghina mahkamah.
Beliau berkata ketelusan di pihak jabatan akan selari dengan jaminan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata kerajaan akan setiap masa menegakkan kedaulatan undang-undang.
Beliau mengulas penarikan balik pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su Keong Siong, Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa dan bekas Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran.
Thomas juga menggugurkan pertuduhan terhadap penyokong PH, Syarul Ema Rena Abu Samah atau Ratu Naga, dan pelukis kartun, Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar.
Mereka didakwa di bawah Akta Hasutan, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, dan Akta Perhimpunan Aman.
Ragunath Kesavan pula berkata PH berikrar untuk mengkaji semula atau memansuhkan undang-undang kuku besi yang menyekat kebebasan bersuara sebelum pilihan raya umum.
“Jadi kena ada satu pelan tindakan. Mereka perlu hentikan semua siasatan dan buat satu keputusan menyeluruh untuk menarik balik semua kes-kes berkaitan di mahkamah,” katanya.
Bekas presiden badan peguam itu berkata Thomas tidak boleh menarik balik pertuduhan atas dasar kes demi kes kerana ia akan dilihat seperti amalan pilih kasih.
“Ahli politik dan penyokong yang bersepakat dengan PH dibebaskan selepas pertuduhan digugurkan. Bagaimana pula mereka yang tidak merayu meminta kes ditarik balik?” katanya.
R Kengadharan berkata kebisuan Thomas mengundang spekulasi dan kecurigaan terhadap kerajaan.
“Ia membayangkan peguam negara sebelum ini, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan pegawai-pegawainya menganiaya ahli politik PH dan penyokong mereka,” katanya.
Kengadharan berkata Thomas tidak boleh berdiam diri dan dia wajar menjelaskan penarikan balik itu.
“Penjelasan itu mungkin tidak akan memuaskan hati semua pihak tetapi dia akan membuat keputusan yang betul,” katanya.