
Bekas menteri besar Selangor itu berkata, rundingan masih dijalankan berhubung pengambilalihan dan penstrukturan semula industri air di Selangor melibatkan kerajaan negeri dan syarikat itu.
“Apabila saya meninggalkan negeri itu selepas pilihan raya, proses rundingan telah dilanjutkan sehingga 4 Julai dengan persetujuan bersama kerajaan persekutuan dan negeri.
“Saya dimaklumkan ia dilanjutkan untuk sebulan lagi dengan kelulusan Kabinet,” katanya di lobi Parlimen semalam mengulas dakwaan Najib yang kerajaan Selangor akan membeli Splash pada harga RM2.7 bilion.
Menurutnya, proses rundingan antara pihak berkaitan diteruskan di bawah Menteri Besar yang baru, Amirudin Shari.
Azmin berkata, kerajaan pusat terdahulu mendapatkan khidmat seorang penilai bebas, tetapi “kita tidak tahu nilai yang disebut oleh penilai bebas itu”.
“Tetapi sekarang saya yakin kerajaan negeri ini mempunyai akses kepada semua maklumat ini dan mereka perlu duduk, berbincang dan memutuskan nilai sebenar yang perlu dibayar kepada Splash. Tetapi, saya bukan sebahagian daripada pasukan yang sertai proses rundingan ini.”
Beliau menegaskan kepentingan rakyat Selangor perlu dijaga supaya tidak dibebani kadar tarif tinggi, susulan pengambilalihan Splash.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar ketika diminta mengulas perkara itu berkata, pengumuman mengenai perkembangan terkini isu penstrukturan air itu hanya akan dibuat selepas rundingan antara pihak berkaitan selesai.
“Saya masih mahu pihak terlibat mematuhi tarikh akhir iaitu 10 Ogos ini…saya berpendapat pengumuman akan dibuat dalam masa beberapa hari lagi.”