Khazanah: Peletakan jawatan perkara biasa, tidak jejas pelaburan, kata penganalisis

Khazanah: Peletakan jawatan perkara biasa, tidak jejas pelaburan, kata penganalisis

Barjoyai berkata peletakan jawatan itu cuma ‘kebetulan’ disebabkan berlakunya pertukaran kerajaan.

Free Malaysia Today
Barjoyai berkata, kini kerajaan berpeluang membawa masuk bakat baru dalam lingkungan umur awal 30-an bagi memacu syarikat dengan membawa idea dan inisiatif baru. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Permohonan peletakan jawatan ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional Berhad merupakan satu fenomena biasa, kata seorang penganalisis ekonomi.

Pensyarah di Universiti Tun Abdul Razak (Utar) Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, peletakan jawatan itu bagaimanapun cuma “kebetulan” disebabkan berlakunya pertukaran kerajaan.

“Kalau kita tengok Terengganu dahulu, ada 2-3 syarikat yang tersenarai (di Bursa Malaysia), dan setiap kali kerajaan bertukar, ahli lembaga pengarahnya bertukar juga.

“Cuma dalam kes Khazanah, ada 2 perkara dilihat agak luar biasa. Pertama, ia mengadakan mesyuarat lembaga pengarah dan selepas itu kesemua pengarah termasuk pengarah urusan menawarkan diri untuk meletakkan jawatan dan tanda tangan surat tanpa tarikh,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Khazanah semalam mengumumkan peletakan jawatan semua ahli lembaga pengarahnya, termasuk pengarah urusan, Tan Sri Azman Mokhtar, bagi memudahkan peralihan yang lancar dan teratur di bawah kerajaan baru.

Perkembangan itu berlaku beberapa minggu selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik Khazanah kerana menyimpang daripada tujuan asal penubuhannya untuk membantu Bumiputera.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, perkara kedua adalah dalam 9 orang yang meletakkan jawatan terdapat individu terkenal dan merupakan “heavy weight” dalam sektor perniagaan seperti bekas timbalan ketua eksekutif Pihak Berkuasa Kewangan Hong Kong Tan Sri Andrew Sheng Len Tao dan Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak.

“Mereka keluar itu nampak macam kehilangan besar dalam kepimpinan, ia memang macam ‘dirancang’ takdir. Mereka telah terlampau lama, terutamanya Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar,” katanya.

Barjoyai berkata, walaupun Azman merupakan seorang yang cemerlang menguruskan Khazanah, tetapi sejak kebelakangan ini beliau seolah-olah tidak mempunyai modal dan idea baru.

“Antara idea yang beliau kemukakan ialah pengambilalihan IHH Healtcare, kemudian beliau nak ambil alih pula syarikat hospital di India untuk ‘turn around’ tetapi harganya agak mahal,” katanya.

Menurut Barjoyai, negara kini menuju ke arah Revolusi Industri 4.0 dan memerlukan kepakaran dan kemahiran baru.

“Apabila semua ahli lembaga pengarah bertukar ini mewujudkan peluang pemilik syarikat membawa masuk bakat baru yang mempunyai kepakaran baru berkaitan Revolusi Industri 4.0 seperti ‘internet of things’, ‘artificial intelligent’, robotik, ‘business analytic’ dan sebagainya.

“Ini peluang untuk kerajaan membawa masuk bakat baru, orang muda dalam lingkungan awal 30-an bagi memacu syarikat dengan membawa idea baru dan inisiatif baru,” katanya.

Barjoyai pada masa yang sama percaya pelaburan Khazanah tidak akan terjejas akibat peletakan jawatan itu.

“Khazanah dalam banyak keadaan melabur pada masa lepas dan menguasai beberapa syarikat dan syarikat itu yang menjalankan operasi secara bebas, jadi tidak bergantung kepada Khazanah. Khazanah hanyalah pemegang saham pasif.

“Tapi keputusan untuk membuat pelaburan itu biasanya melibatkan pemikiran dan daya inisiatif ahli lembaga Khazanah dan ketua pegawai eksekutifnya,” kata beliau.

Semalam, Barisan Nasional (BN) memberi amaran pelaburan asing Khazanah Nasional dan kedudukan puluhan syarikat di bawahnya akan terjejas berikutan peletakan jawatan semua ahli lembaga pengarahnya.

Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata peletakan jawatan itu akan membuka peluang kenaikan pangkat kepada kakitangan sekarang dan juga lantikan orang pilihan PH.

Beliau mengingatkan kerajaan lembaga pengarah terbabit terdiri daripada individu berkebolehan dan berpengalaman, justeru kerajaan mestilah mencalonkan pengganti setaraf atau lebih baik agar pelaburan badan tidak terganggu dengan langkah penyusunan semula yang akan berlaku.

“Portfolio pelaburan Khazanah boleh terjejas jika lantikan pengarah dibuat secara ‘tangkap muat’ dan berbau politik, tanpa mengutamakan prinsip kredibiliti korporat yang baik,” kata beliau.

BN beri amaran pelaburan Khazanah boleh terjejas

Lembaga pengarah Khazanah tak dipaksa letak jawatan, kata Guan Eng

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/26/pengarah-khazan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.