Kes Kevin Morais: Bicara tertangguh lagi, saksi masuk hospital

Kes Kevin Morais: Bicara tertangguh lagi, saksi masuk hospital

Tertuduh ke-7, S Ravi Chandaran dimasukkan ke HKL kerana menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Free Malaysia Today
Semalam, S Ravi Chandaran enggan memberi keterangan disebabkan pemikirannya tidak stabil. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Perbicaraan kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais di Mahkamah Tinggi hari ini ditangguhkan sehingga Isnin depan kerana tertuduh ke-7 yang sepatutnya menyambung keterangan dimasukkan ke hospital akibat masalah kesihatan.

Peguam V Rajehgopal yang mewakili tertuduh S Ravi Chandaran, 47, saksi pembelaan ke-6 berkata perbicaraan kes itu yang sepatutnya bermula pukul 2.45 petang hari ini, ditangguhkan kerana anak guamnya dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Saya difahamkan tertuduh dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan… dia menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi. Dia diarah dibawa ke Klinik Kesihatan Tanglin untuk rawatan tetapi pihak klinik meminta merujuk ke HKL untuk rawatan lanjut.

“Saya tidak pasti berapa lama tertuduh akan ditahan di hospital. Apa-apa pun, perbicaraan kes ini akan bersambung Isnin depan seperti yang ditetapkan sebelum ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu, Hakim Datuk Azman Abdullah mengarahkan pihak polis mengiringi Ravi Chandaran yang merupakan saksi pembelaan terakhir dalam perbicaraan kes tersebut ke Hospital Tanglin bagi menjalani pemeriksaan kesihatan selepas tertuduh mengadu pening kerana dia tidak diberi ubat sejak beberapa hari.

“Bawa tertuduh ke klinik terdekat (Klinik Kesihatan Tanglin) untuk rawatan bagi mengesahkan sama ada dia cukup sihat untuk memberi keterangan. Selepas rawatan kembali ke mahkamah, nanti kita tengok macam mana,” kata hakim itu ketika prosiding kes yang masuk hari ke-17.

Terdahulu, selepas mengangkat sumpah, Ravi Chandran memaklumkan dia boleh memberi keterangan tetapi mengadu dia rasa pening.

“Saya masih rasa pening-pening,” katanya dalam bahasa Tamil yang diterjemahkan oleh jurubahasa mahkamah.

Semalam, perbicaraan kes itu ditangguhkan kerana Ravi Chandran enggan memberi keterangan disebabkan pemikirannya tidak stabil akibat tidak cukup tidur dan tidak diberi makanan di penjara selepas dia balik dari mahkamah.

R.Dinishwaran, AK Thinesh Kumar, M Vishwanath; S Nimalan, Ravi Chandaran, dan doktor tentera Kolonel Dr R Kunaseegaran, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dinishwaran, 26; Thinesh Kumar, 25; Vishwanath, 28; Nimalan dan Ravi Chandaran, diwakili peguam Rajehgopal manakala Dr Kunaseegaran, 55, diwakili peguam Datuk N Sivananthan dan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung Isnin depan.

Kes Kevin Morais: Perbicaraan ditangguh, saksi enggan beri keterangan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.