
Beliau berkata janji yang kemudian didapati boleh memudaratkan negara harus dimungkiri.
“Oleh kerana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad cakap manifesto bukan kitab suci, jangan laksanakan janji atas sebab populis tapi mudaratkan negara,” katanya ketika membahaskan titah Agong.
Dalam soal GST, Khairy menggesa kerajaan untuk membatalkan rancangan memperkenalkan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST), tetapi mengekalkan GST pada kadar yang lebih rendah.
“GST sudah kosong tapi tak ada penurunan harga barang. Menteri kewangan juga akui sistem GST lebih telus dan cekap, serta berjaya tutup kelompongan berbanding SST.”
Oleh itu, beliau berhujah lebih baik GST dikekalkan pada kadar lebih rendah yang membawa kutipan hasil sama seperti SST.
Dalam soal penangguhan bayaran hutang PTPTN pula, Khairy berkata janji ini jika diteruskan akan mengadai masa depan anak-anak muda.
“PTPTN perlu RM5 bilion setahun untuk tampung pinjaman. Kerajaan melepaskan peminjam bermasalah daripada senarai hitam, tapi PTPTN terpaksa buat pinjaman baru daripada institusi kewangan pada kadar faedah 5%-6%.
“PTPTN adalah liabiliti kontinjen kerajaan,” katanya.