Penolong pengarah BTN ditahan SPRM disyaki buat tuntutan palsu RM600,000

Penolong pengarah BTN ditahan SPRM disyaki buat tuntutan palsu RM600,000

2 penolong pengarah Biro Tata Negara dan 3 individu lain dipercayai bersubahat dengan 43 syarikat di seluruh Sarawak, kata sumber.

PETALING JAYA:
Lima individu termasuk 2 penolong pengarah kanan Biro Tata Negara (BTN) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki membuat tuntutan palsu kira-kira RM600,000.

Menurut sumber, suspek, iaitu 3 lelaki dan 2 wanita berusia antara 34 hingga 55 tahun, ditahan pada 4.30 petang di pejabat SPRM Sarawak ketika hadir untuk memberi keterangan.

“Mereka dipercayai bersubahat dengan 43 syarikat di seluruh Sarawak dengan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu untuk membuat tuntutan pembayaran kerja.

“Jumlah tuntutan bagi satu-satu kerja bernilai antara RM2,000 hingga RM6,000. Tiga daripada individu terbabit pernah berkhidmat di BTN Sarawak namun kini berpindah ke jabatan lain serta bersara,” katanya.

Difahamkan, suspek mempunyai kawalan ke atas akaun BTN dan menggunakan wang tersebut untuk kegunaan peribadi.

Menurut sumber, semua pembayaran dibuat ke beberapa akaun pemilik syarikat pada 2016, dan suspek dipercayai mengambil keuntungan daripada setiap syarikat yang dipilih oleh mereka.

“Siasatan mendapati kira-kira 70% perkhidmatan atau pembekalan yang dilakukan oleh syarikat-syarikat terbabit kepada pihak BTN adalah tidak wujud atau tidak dilaksanakan dalam tempoh tersebut,” katanya.

Pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd Noor mengesahkan tangkapan yang dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM dan suspek dijangka direman di Mahkamah Majistret Kuching esok.

Menurut Razim, penyiasat sedang mendapatkan dokumen-dokumen berhubung pembayaran yang dibuat itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.