Kerajaan PH hanya untungkan golongan kecil peminjam PTPTN

Kerajaan PH hanya untungkan golongan kecil peminjam PTPTN

BN berkata menangguhkan pembayaran hutang PTPTN dan menarik balik sekatan imigresen menyusahkan sebahagian besar orang lain.

Free Malaysia Today
Shamsul Anuar berkata kerajaan sepatutnya memikirkan peminjam yang sedang belajar dan orang yang mahu melanjutkan pengajian. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tindakan kerajaan menangguhkan pembayaran hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta menarik balik sekatan imigresen ke atas peminjam bermasalah hanya menguntungkan segolongan kecil orang dan menyusahkan sebahagian besar yang lain.

Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berkata dasar Pakatan Harapan memberi kesan kepada peminjam yang sedang belajar dan orang yang mahu melanjutkan pengajian.

“Dasar BN ketika mengendalikan PTPTN bukan hanya menjaga anak muda yang sudah membuat pinjaman. Kerajaan dulu juga jaga anak muda yang sedang belajar, kita fikir bagaimana anak muda nak belajar, dan yang tak dapat pinjaman,” katanya ketika membahaskan titah Agong.

Bekas pengerusi PTPTN itu berkata tindakan kerajaan meletakkan kewangan PTPTN pada kedudukan membimbangkang kerana ia menjejaskan jumlah kutipan bayaran balik, menyebabkan anak muda yang sedang belajar atau mencari pinjaman terjejas.

Beliau menyorot perhatian Dewan Rakyat kepada akibat retorik PH yang menguar-uarkan mahu menghapuskan PTPTN pada 2013.

“Apa berlaku? Ramai tidak bayar. Apabila tidak bayar berlaku penurunan kutipan, di mana kutipan RM50 juta sebulan menyebabkan kutipan tahunan menurun kepada RM600 juta sehingga RM700 juta sahaja.

“Apa kesannya? PTPTN terpaksa memotong jumlah pinjaman daripada 100% kepada 95% untuk pelajar institusi pengajian tinggi awam dan kepada 85% untuk pelajar institusi pengajian tinggi swasta.

“Saya percaya kesan lebih besar jika dasar ini diteruskan,” katanya.

Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya berikrar menangguhkan bayaran balik hutang peminjam yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata purata kutipan bulanan sejak Januari tidak melebihi RM300 juta dan menurun kepada RM200.45 juta pada Mei.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menggesa peminjam untuk terus membayar balik pinjaman mereka sebagai tanggungjawab moral.

Selepas PH membentuk kerajaan, seramai 429,945 peminjam bermasalah dikeluarkan daripada senarai hitam imigresen, membolehkan mereka keluar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.