Kenyataan rasmi Syed Saddiq jadi contoh teknik bahasa

Kenyataan rasmi Syed Saddiq jadi contoh teknik bahasa

Kenyataan rasmi Kementerian Belia dan Sukan menjadi perhatian apabila ia dijadikan contoh kesalahan teknik bahasa.

Free Malaysia Today
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kenyataan rasmi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menarik perhatian warga Internet apabila ia dijadikan contoh kesalahan teknik Bahasa Melayu oleh laman usik, Tentera Troll Kebangsaan Malaysia (TTKM).

Kenyataan rasmi menteri sekadar mendapat 39 daripada 100 markah, kerana terlalu meleret, menggunakan perkataan tidak perlu, tidak penting atau meragukan, dan nada seperti mencari gaduh atau mengarah-arah.

“Tujuh perenggan boleh diringkaskan kepada 3 perenggan sahaja,” kata pengirim pada kenyataan itu.

Facebook peminat bola sepak, Harimau Malaya meminta Syed Saddiq menukar pegawai medianya kerana menulis kenyataan rasmi kerajaan secara “tunggang-langgang”.

“Fakta pun salah. Tolak 10 markah (lagi),” katanya.

Pada 22 Julai lepas, Syed Saddiq menjawab isu pelepasan pemain skuad bola sepak negara Bawah 23 (B-23) untuk Sukan Asia 2018, selepas jurulatih negara Datuk Ong Kim Swee dilapor berkata skuad negara mungkin terpaksa menarik diri dari kejohanan jika gagal mengumpulkan pemain mencukupi.

Ong dilapor berkata beberapa pasukan berkeras enggan melepaskan pemain yang dipanggil kerana Sukan Asia bertembung dengan Piala Malaysia.

Syed Saddiq berkata setiap kelab mesti bersedia melepaskan pemain yang dipanggil dan semua pemain harus melihat panggilan itu sebagai satu penghormatan. Beliau juga mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyelesaikan “isu lama” ini.

Sukan Asia akan berlangsung pada 18 Ogos hingga 2 September di Jakarta dan Palembang, Indonesia.

Syed Saddiq adalah pemenang anugerah Pendebat Terbaik Asia di Kejohanan Debat Parlimen British Asia sebanyak 3 kali.

Kenyataan Media Bro Saddiq: Tiada standard dan fakta, dikecam netizen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.