Tabung Harapan Malaysia langkah populis, kata Zahid

Tabung Harapan Malaysia langkah populis, kata Zahid

Ketua pembangkang itu berkata kerajaan tidak sepatutnya membebankan rakyat untuk menderma bagi menyelesaikan hutang negara.

Free Malaysia Today
Zahid Hamidi berkata kadang-kadang untuk jadi populis, kerajaan minta dana daripada rakyat. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melancarkan Tabung Harapan Malaysia (THM) adalah langkah populis, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, kerajaan tidak sepatutnya membebankan rakyat untuk menderma bagi menyelesaikan hutang negara.

“Kadang-kadang untuk jadi kerajaan yang populis, maka mereka minta dana daripada rakyat. Sedangkan rakyat terbeban dengan pelbagai cukai.

“Ini langkah populis. Saya fikir rakyat tolaklah,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Zahid berkata demikian ketika Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) mencelah sebagai berkata, hutang negara perlu dibayar sendiri oleh kerajaan tanpa melibatkan rakyat.

“Apa yang dibuat oleh PH hanya untuk cari alasan agar tak lakukan banyak perkara. Mereka hilang hasil yang banyak apabila menghapuskan GST dan kemudian tuduh hutang kerajaan.

“Saya nak tanya Bagan Datuk, mana ada dalam dunia ini selain Korea Selatan yang minta derma untuk bayar hutang. Kerajaan yang hutang, kerajaan lah bayar, kenapa rakyat kena bayar?” soal Maslan.

THM dilancarkan 30 Mei lalu sebagai usaha rakyat untuk membantu kerajaan mengurangkan hutang negara yang mencecah RM1 trilion dan sehingga kini kutipan THM berjumlah RM153,926,454.67.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.