
Beliau berkata mengikut perancangan kementerian, sebanyak 8 buah hospital sedia ada dalam proses penelitian untuk dijadikan hospital latihan siswazah dalam tempoh 2 tahun akan datang.
Kementerian juga mengkaji perancangan untuk membenarkan pegawai perubatan siswazah (PPS) yang berprestasi tinggi menamatkan latihan mereka lebih awal daripada tempoh latihan 2 tahun yang ditetapkan.
Buat masa ini, tempoh menunggu untuk menjalani latihan siswazah di hospital kerajaan adalah antara 8 hingga 11 bulan selepas mereka berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Menjawab soalan lisan Chang Lih Kang (PH-Tanjung Malim) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata hanya 67.1% PPS sahaja yang berjaya menamatkan latihan siswazah dalam tempoh 2 tahun manakala 32.9% PPS lagi mengambil masa yang lebih lama akibat faktor peribadi dan kompetensi.
“Ini menyebabkan berlakunya ‘backlog’ oleh kerana slot-slot latihan sedia ada mengambil masa yang lebih lama untuk dikosongkan,” katanya.
Dr Dzulkefly juga berkata dalam pada itu keutamaan juga akan diberi kepada PPS kontrak yang berjaya menamatkan latihan siswazah dalam tempoh 2 tahun untuk diserap masuk sebagai Pegawai Perubatan lantikan tetap.
“Ini bagi memberi insentif kepada PPS sedia ada untuk meningkatkan prestasi agar tamat dalam tempoh 2 tahun,” katanya.
Mengenai isu penyerapan ke dalam perkhidmatan, Dr Dzulkefly berkata kementerian mengubah pelaksanaan pelantikan graduan perubatan secara tetap kepada lantikan secara kontrak mulai Disember 2016.
“Melalui pendekatan ini, semua graduan perubatan boleh dilantik tanpa tertakluk kepada kekosongan jawatan tetap. Sehingga 25 Jun 2018, seramai 9,058 graduan perubatan dilantik secara kontrak bagi tempoh 2 tahun,” katanya.