Azmin: Kos tersembunyi punca projek HSR cecah RM110 bilion

Azmin: Kos tersembunyi punca projek HSR cecah RM110 bilion

Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata, kerajaan Barisan Nasional tidak mendedahkan kos tersembunyi dalam projek HSR.

Free Malaysia Today
Azmin Ali berkata, semua projek pembangunan perlu dirancangkan dengan teliti dan mengikut prinsip telus serta dalam kemampuan kewangan negara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali (PH-Gombak) berkata kos tersembunyi ialah punca sebenar projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) mencecah RM110 bilion berbanding kos asal RM55 bilion.

“Seperti biasa, kos yang disebut Ayer Hitam (Wee Ka Siong-BN) adalah kos projek yang dikatakan pada RM55 bilion. Tapi dalam banyak perkara, banyak kos tersembunyi yang tidak didedahkan oleh kerajaan terdahulu.

“Pakatan Harapan bertanggungjawab mendedahkan keseluruhan kos projek ini, sebab itu sekiranya perkara ini tidak dapat dilaksanakan kerana suasana ekonomi, maka kerajaan ambil pendirian untuk bincang supaya semua terma dipatuhi,” katanya menjawab soalan tambahan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Azmin menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) mengenai aspek yang sedang dikaji kerajaan ekoran penangguhan projek itu.

Azmin berkata, keutamaan kerajaan ialah memastikan sebarang projek pembangunan mesti membawa impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata, semua projek pembangunan perlu dirancangkan dengan teliti dan mengikut prinsip telus serta dalam kemampuan kewangan negara.

“Berdasarkan perkiraan kos keseluruhan pembinaan HSR yang dijangkakan RM110 bilion dan jumlah ini amat tinggi untuk jajaran 350km. Pada masa ini, kerajaan berusaha mengurangkan bebanan hutang negara yang sudah mencecah RM1 trilion.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.