Polis siasat NGO pro-Umno himpun di Bukit Aman tanpa notis

Polis siasat NGO pro-Umno himpun di Bukit Aman tanpa notis

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman.

Free Malaysia Today
Mazlan Lazim menafikan polis mendapat arahan perdana menteri untuk menghalang Pemantau Malaysia Baru mengadakan protes dan berarak ke bangunan Parlimen, pagi tadi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis akan menyiasat penganjur perhimpunan dan bantahan di perkarangan Bukit Aman, hari ini, untuk mempertahankan hak Islam dan Melayu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata penganjur perhimpunan itu, Pemantau Malaysia Baru tidak memberi apa-apa notis pemberitahuan 10 hari kepada polis seperti yang ditetapkan undang-undang, dan oleh itu siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman.

“Setakat ini tiada tangkapan dibuat. Kita akan buat laporan dan siasat mereka,” katanya kepada FMT hari ini.

Lebih 50 penyokong Pemantau Malaysia Baru mula berkumpul di ibu pejabat polis Bukit Aman seawal 8 pagi tadi, bagi menunjukkan solidariti kepada Yang di-Pertuan Agong dan membantah DAP yang didakwa memperkudakan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Badan bukan kerajaan (NGO) pro-Umno itu diketuai Exco Pemudanya, Faisal Ismail Aziz dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam yang juga presiden Pemantau Malaysia Baru.

Mereka mendakwa polis mengadakan sekatan atas arahan Dr Mahathir dan ingin tahu kenapa polis tidak membenarkan mereka berarak ke Parlimen sejauh kira-kira 1km.

Mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012, penganjur perlu memberi notis 10 hari sebelum perhimpunan diadakan, kepada pihak polis.

Mazlan turut menafikan mereka mendapat arahan daripada perdana menteri untuk menghalang NGO itu mengadakan protes dan berarak ke bangunan Parlimen.

Katanya, sekatan itu bertujuan memastikan keselamatan dan kelancaran perasmian Persidangan Penggal Pertama Parlimen Ke-14 oleh Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

NGO pro-pembangkang dilarang protes, berarak ke Parlimen

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.